KUALA LUMPUR: Ketua Puteri UMNO yang baharu, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bersedia membawa bersama barisan exconya bekerja dalam satu pasukan bagi mencorakkan pendekatan, misi dan visi kepimpinan sayap itu untuk memperkasa kedudukan parti itu dalam masyarakat.

Beliau berkata, golongan muda mempunyai banyak pecahan kumpulan yang memerlukan corak pendekatan berbeza.

Justeru menurutnya, penting untuk beliau mengambil kira pandangan barisan exco-exco Puteri UMNO khususnya untuk strategi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH saya nak lihat barisan exco untuk penggal ini. Saya percaya perwakilan negeri buat pemilihan terbaik untuk Ketua Puteri UMNO Malaysia. Jadi saya nak lihat kelebihan exco-exco, warna-warni corak latar belakang mereka.

“Pengalaman sebagai Naib Ketua Puteri UMNO sebelum ini akan membantu. Jadi, mana yang kurang insya-ALLAH kita tambah, yang kabur kita jelaskan supaya pertama, dapat tarik orang muda bersama kita dan kedua, wanita muda berasa lebih yakin bersama Puteri UMNO.

“Kita akan betulkan bersama dengan kepimpinan baharu. Saya juga mengharapkan kami dapat bekerja sebagai satu pasukan. Daripada exco sampai ke bawah.

“Saya tidak mampu bekerja seorang diri. Walaupun saya ketua, saya mahu bawa bersama pasukan saya. Bersama exco-exco dan Puteri di 190 bahagian bawa misi dan visi bersama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, usaha membawa perubahan terhadap UMNO sebagai parti pilihan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah pendekatan jangka panjang yang sukar diterjemahkan dalam masa terdekat.

Ujarnya, sentimen yang berlaku terhadap UMNO ketika ini bukan jawapan kepada apa yang bakal berlaku pada PRU akan datang.

“Kalau bab jadikan UMNO sebagai parti pilihan, dulu kita tengok PN (Perikatan Nasional) pun bukan parti pilihan rakyat sebab dia datang dua tahun sebelum PRU.

“Jadi kita tidak boleh nak meletakkan apa yang terjadi itu sebagai ‘ini adalah jawapannya’ sebab PRU ambil masa yang panjang. Macam-macam boleh berlaku,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau percaya, pucuk pimpinan UMNO mempunyai pendekatan yang sewajarnya demi masa depan terbaik parti.

“Saya rasa Presiden dan Timbalan Presiden juga ada perancangan untuk membawa parti untuk menang.

“Sudah tentu semua parti politik dalam Malaysia ini mahukan kemenangan dan saya juga mahukan kemenangan untuk PRU. Kita berusaha bersama dan bekerja dalam pasukan untuk bawa perubahan,” tambah beliau. - Sinar Harian