POLITICS
Kerjasama dengan pembangkang bukan hanya beri manfaat politik - Pakar

Kerjasama ini perlu dilihat sebagai cara kerja yang akan membawa negara keluar dari krisis pandemik dan ekonomi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu serius dalam usaha mewujudkan kerjasama proaktif dengan blok pembangkang jika mahu pemulihan ekonomi dan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Ketua Kluster Keselamatan dan Kestabilan Negara, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan membawa kebaikan dari sudut politik, malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca COVID-19.
"Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang boleh dilaksanakan dalam kadar yang cepat, tetapi ini bergantung kepada kerajaan, sejauh mana kerajaan boleh memberikan apa yang dikehendaki pembangkang.
"Kerjasama ini akan sekurang-kurangnya membawa keamanan dalam negara, menjernihkan seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat.
"Kita tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepimpinan yang kukuh, jadi kerjasama yang bermakna akan memberi peluang untuk kerajaan bergerak dengan lebih efektif," katanya kepada Astro AWANI.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, Pakatan Harapan sedia menerima CSA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya tawaran itu sama seperti dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Jelas Dr Muhammad Fuad, kerjasama politik seumpama itu bukan perkara asing kerana ia sudah biasa diamalkan negara luar, antaranya Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat, khususnya ketika berhadapan konflik.
"Kerjasama ini perlu dilihat sebagai cara kerja yang akan membawa negara keluar dari krisis pandemik dan ekonomi.
"Mungkin bukan dalam semua aspek, tetapi kerjasama boleh dijalinkan contoh dalam menentukan jumlah pembangkan dalam mana-mana jawatankuasa dan memperkenalkan akta anti lompat parti.
"Memang semua ini akan ambil masa, tetapi ia sudah boleh dimulakan kerajaan sekarang.
"Dengan adanya kerjasama ini, ia akan memperkukuhkan setiap tindakan yang diambil kerajaan selain membantu mengelakkan unsur sabotaj, seterusnya fokus maksima diberikan terhadap usaha mengeluarkan negara dari krisis," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami