[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
POLITIK

Kerjasama Ku Li dengan parti lain bersifat individu, tidak wakili UMNO - Annuar

Muhafandi Muhamad 28/04/2022 | 08:45 MYT
Jelas Annuar apa-apa keputusan berhubung dengan hubungan antara parti hanya boleh diputuskan oleh parti dan melalui parti. - Gambar fail
KETEREH: Tan Sri Annuar Musa berpandangan kerjasama yang berkemungkinan ingin dibentuk oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dengan Pakatan Harapan (PH) adalah atas tindakannya sendiri.
Jelas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, apa-apa keputusan berhubung dengan hubungan antara parti hanya boleh diputuskan oleh parti dan melalui parti.
“Kita balik pada prinsip mudah sahaja. Apa-apa keputusan tentang hubungan antara parti hanya boleh diputuskan melalui parti. Kalau sesiapa sahaja bertindak atas sifat individu maka dia jadilah kerja individu dan kerja individu tidak sama dengan kerja parti.
“Setakat saya tahu inisiatif yang diambil saya pun tak tahu dan ambil atau tidak tetapi inisiatif peribadi bermula di mana dan berakhir dimana,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
BACA: Ku Li jumpa Amanah Kelantan, rancang strategi tawan Kelantan?
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, K-KOM berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Ku Li yang dikatakan sedang menyusun langkah strategik dan kerjasama dengan PH dalam usaha untuk menawan Kelantan.
Difahamkan satu pertemuan dan perbincangan awal antara pemimpin Amanah negeri sudah diadakan di Kota Bharu pada satu program berbuka puasa baru baru ini.
Kata Annuar lagi, parti juga sebelum ini telah membuat keputusan bahawa tiada jalinan kerjasama dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
#Annuar Musa #Tengku Razaleigh Hamzah #Pakatan Harapan #Anwar Ibrahim #PKR #PRU