Kerjasama pembangkang dan GRS demi penuhi tuntutan rakyat - PH Sabah

Astro Awani
Oktober 28, 2021 08:47 MYT
Pengarah Komunikasi PH Sabah Ewon Benedict mengesahkan telah membincangkan agenda reform ini bersama Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Facebook\Ewon Benedick
KUALA LUMPUR: Kesediaan Pakatan Harapan (PH) Sabah bekerjasama dengan kerajaan negeri bukan Memorandum Persefahaman (MoU) seperti yang dicanang pihak tertentu.
Menerusi Pengarah Komunikasinya Ewon Benedict, PH Sabah menegaskan bahawa ia merupakan satu tuntutan rakyat yang perlu diperjuangkan secara bersama dan rentas politik.
Justeru kerjasama melibatkan semua pihak dalam menjayakan agenda reform dan tadbir urus negeri itu amat diperlukan.
‘’PH Sabah memaklumkan telah bersetuju mengangkat tujuh agenda reform dan tadbir urus negeri Sabah.
‘’Ia merangkumi Autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, tadbir urus menangani pandemik COVID-19, pelan kebangkitan ekonomi Sabah, reformasi pentadbiran, reformasi Dewan Undangan Negeri, tadbir urus Dewan Undangan Negeri Sabah dan tadbir urus keselamatan,’’ kata kenyataan itu.
Selain itu, PH Sabah turut mengesahkan telah membincangkan agenda ini bersama Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Seterusnya akan mengemukakan secara rasmi kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.
BACA: PH Sabah sedia jalin kerjasama bipartisan dengan GRS
Terdahulu, PH Sabah bersedia untuk kerjasama bipartisan bersama kerajaan negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun ingin merangka garis panduan yang jelas mengenai hubungan kerja mereka.
Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata, kesediaan kerjasama itu selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Kerajaan Persekutuan bersama PH.
Menurutnya, pemimpin pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan UPKO di Sabah turut bersetuju untuk membentuk jawatankuasa khas dalam kalangan mereka bagi menyelesaikan isu yang perlu ditangani dan mencadangkan strategi pembangunan semula negeri.
#Pakatan Harapan Sabah #Gabungan Rakyat Sabah #Perjanjian Malaysia 1963 #Christina Liew