Kerjasama politik: UMNO bertepuk sebelah tangan, kita tak sambut - Dewan Ulama Pas

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 15, 2017 04:24 MYT
"Harap-harap tidak akan berlaku sebab kita kena jaga akar umbi kita yang memang tidak mahu (kerjasama) dengan UMNO. Dah serik dah." - Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Mahfodz Mohamed - Foto BERNAMA
Pas menyifatkan UMNO Kelantan 'bertepuk sebelah tangan' dalam isu kerjasama politik yang digembar-gemburkan pemimpinnya.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Mahfodz Mohamed menegaskan, Pas tidak pernah berbincang berkenaan kerjasama sama politik dengan UMNO termasuk pengagihan kerusi.
"Buat masa kini, kalau kata orang tu, tepuk tangan sebelah la, tak bunyi. Pas memang tak sambut.
"Harap-harap tidak akan berlaku sebab kita kena jaga akar umbi kita yang memang tidak mahu (kerjasama) dengan UMNO. Dah serik dah.
"Sekarang ini, bila mereka (UMNO) tak kuat, dia (UMNO) nak dekat kita (Pas), bila (UMNO Kelantan) kuat nanti tendang macam mana yang berlaku dulu-dulu," katanya ketika ditemui media pada Kuliyah Dhuha, Dunia Islam Masa Kini oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang membayangkan akan ada lebih banyak kerjasama termasuk kerjasama politik antara UMNO dengan Pas.
Katanya, ia termasuk usaha kedua-dua parti untuk menumbangkan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
#Abdul Hadi Awang #DAP #Islam #PAS #pilihan raya #pilihan raya umum #politik #presiden #PRU14 #Tan Sri Annuar Musa #UMNO