KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berunding dengan pemimpin parti pembangkang untuk membolehkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat akan diluluskan.

Muhyiddin menjelaskan, beliau menganjurkan muafakat ini bagi membolehkan kerajaan yang ada terus berfungsi mengurus pandemik COVID-19 hingga ke suatu masa yang sesuai.

"Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

"Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

"Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik COVID-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah," katanya ketika menyampaikan Ucapan Khas - Bersama Memulihkan Negara, di ibu negara pada Jumaat,

Beliau menjelaskan, negara memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

Katanya, apabila kestabilan politik tidak dapat dicapai, segala usaha untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi sukar dicapai.