POLITIK

Kes 1MDB: Sabitan Najib dedah kegagalan reformasi struktur negara - C4

Yasmin Natasha 27/12/2025 | 08:00 MYT
Najib disabit bersalah atas empat pertuduhan menyalahguna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Keputusan Mahkamah Tinggi Putrajaya pada Jumaat yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuka semula persoalan besar mengenai kegagalan kerajaan melaksanakan reformasi struktur secara menyeluruh.


Ringkasan AI
  • Keputusan Mahkamah Tinggi Putrajaya mensabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes 1MDB membuka persoalan kegagalan kerajaan melaksanakan reformasi struktur secara menyeluruh.
  • Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menekankan bahawa hukuman individu tidak mencukupi jika kelemahan institusi dan mekanisme semak dan imbang tidak diperbaiki.
  • Dapatan mahkamah menunjukkan kelemahan serius dalam sistem tadbir urus negara dan kegagalan mempercepatkan reformasi struktur boleh merosakkan keyakinan rakyat dalam pentadbiran negara.


Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menegaskan bahawa, sabitan bersejarah itu tidak seharusnya menjadikan kerajaan berasa selesa, kerana banyak sistem dan struktur yang membolehkan skandal 1MDB berlaku masih kekal dan berfungsi sehingga hari ini.

Menurut C4 Center, hukuman terhadap individu semata-mata tidak mencukupi sekiranya kelemahan institusi, pemusatan kuasa serta kegagalan mekanisme semak dan imbang terus dibiarkan tanpa pembaikan substantif.

“Sabitan ini membuktikan tiada siapa kebal daripada undang-undang, namun tanpa perubahan struktur, negara kekal terdedah kepada pengulangan skandal berskala besar yang sama.

"C4 Center berpandangan bahawa tujuh tahun selepas kejatuhan Najib, reformasi antirasuah utama masih tertangguh, khususnya dalam aspek kebebasan institusi penguatkuasaan, tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kawal selia dana awam,” menurut kenyataan badan pemantau itu.

Dalam penghakiman Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada Jumaat, beliau menolak pembelaan berkaitan “derma Arab Saudi” yang didapati tidak berasas serta disokong oleh dokumen palsu, selain menyatakan adalah tidak munasabah untuk mendakwa pegawai 1MDB berkomplot menentang seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa.

Namun, dapatan mahkamah bahawa pegawai 1MDB bertindak mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, kerana percaya beliau bertindak dengan restu Perdana Menteri, menurut C4 Center, mendedahkan kelemahan serius dalam sistem tadbir urus negara.

Keadaan itu, katanya, menimbulkan kebimbangan sama ada pembaharuan berkesan telah dilaksanakan bagi memastikan individu luar tidak lagi mampu mengawal institusi awam tanpa sebarang akauntabiliti.

C4 Center turut memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan mempercepatkan reformasi struktur akan menjejaskan keyakinan rakyat dalam pentadbiran negara.

“Malaysia memerlukan perubahan sistemik, bukan sekadar kemenangan simbolik di mahkamah,” tegas C4 Center.

Menurut badan itu, selagi kuasa kekal tertumpu di tangan eksekutif tanpa pengawasan bebas dan institusi penguatkuasaan tidak diberikan kebebasan sepenuhnya, skandal seperti 1MDB berpotensi berulang, tanpa mengira siapa yang memegang tampuk pemerintahan.









#1Malaysia Development Berhad #Jho Low #Putrajaya #1MDB #Najib Razak #C4 Center