Kesepakatan di Kedah perlu dijadikan contoh di peringkat pusat - Mahfuz

Irwan Muhammad Zain
Februari 27, 2020 04:39 MYT
Mahfuz berkata pimpinan PH dan Bersatu di peringkat pusat juga perlu berlapang dada dan lebih mementing rakyat dan negara. - Gambar fail
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyeru pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencontohi kesepakatan yang dicapai oleh kerajaan Kedah.
Mahfuz menegaskan kesepakatan yang dicapai antara PH dan Bersatu di Kedah itu boleh digunakan di negeri-negeri lain dan juga peringkat pusat untuk masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.
"Kesepakatan yang dicapai oleh Datuk Seri Mukhriz dan pimpinan PH di Kedah itu menunjukkan bahawa mereka meletakkan kepentingan rakyat mengatasi politik kepartian.
"Seharusnya pimpinan PH dan Bersatu di peringkat pusat juga perlu berlapang dada dan lebih mementing rakyat dan negara," katanya kepada Astro AWANI.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa pentadbiran kerajaan Kedah kekal dengan kerajaan pimpinan PH dan Bersatu.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari juga mengumumkan pentadbiran kerajaan negeri kekal seperti sebelumnya.
Bersatu tidak lagi sebahagian daripada PH selepas Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti serpihan UMNO itu keluar dari gabungan tersebut.
#Adly Zahari #Amanah #Anwar Ibrahim #Bersatu #Kedah #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mahfuz Omar #Malaysia #Malaysia 2020 #Melaka #Mohamad Sabu #Mukhriz Mahathir #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #Parti Pribumi Bersatu Malaysia