POLITIK

Kestabilan politik dorong BN menang bergaya di Kinabatangan, Lamag - Penganalisis

Bernama 24/01/2026 | 23:00 MYT
Naim Moktar dan Mohd Ismail atau Miha, meraikan kejayaan selepas diumumkan pemenang di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, semalam. --fotoBERNAMA
KINABATANGAN: Kestabilan politik serta jaminan kesinambungan pembangunan dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong pengundi memberikan kemenangan bergaya kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, menurut penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Haryati Abdul Karim berkata, kedudukan BN sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan Sabah telah meningkatkan keyakinan pengundi terhadap kemampuan parti itu untuk membawa suara dan kepentingan rakyat Kinabatangan serta Lamag ke peringkat Persekutuan dan negeri.

Beliau menekankan bahawa faktor ini penting bagi memastikan kesinambungan dasar dan pelaksanaan pembangunan, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih berdepan pelbagai isu asas.

"BN berada dalam Kerajaan Perpaduan yang menjadi pilihan rakyat, sekali gus memberikan kelebihan untuk meraih kemenangan di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

"Yang lebih penting ialah kestabilan untuk menyelesaikan isu asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, yang kini menjadi keutamaan rakyat Sabah," katanya kepada Bernama. pada Sabtu.

Haryati berkata, pendekatan calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, dan calon DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob, menarik perhatian pengundi.

Menurutnya, kedua-duanya tampil dengan idea baharu, berprofil sederhana, dan aktif menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi, sekali gus berjaya menarik sokongan pengundi luar bandar secara menyeluruh.

"Isyarat yang cuba disampaikan pengundi ialah mereka mahukan pemimpin yang merendah diri, sering menyantuni rakyat dan mendengar masalah rakyat. Semua ciri ini dimiliki oleh Mohd Kurniawan Naim dan Mohd Ismail," katanya.

Beliau menegaskan, mesej pengundi adalah jelas, iaitu mahukan pemimpin yang dekat dengan rakyat, bersedia mendengar masalah mereka dan mampu memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang turut berpendapat bahawa kemenangan BN dalam PRK itu didorong terutamanya oleh naratif kestabilan politik.

"Kedudukan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri, bersama sentimen pengundi, menjadi antara elemen utama yang mengukuhkan kestabilan politik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kesinambungan pentadbiran dan pembangunan," katanya.

Beliau berkata, kesepaduan parti dalam Kerajaan Perpaduan Sabah memberi kelebihan kepada jentera BN bergerak lebih tersusun dan berkesan, terutamanya di kawasan luar bandar yang menghargai hubungan berterusan serta kehadiran wakil rakyat yang dekat dengan komuniti.

"Di Kinabatangan dan Lamag, BN memiliki kelebihan sebagai parti yang telah lama berakar di peringkat akar umbi dengan jaringan penggerak tempatan yang berfungsi secara konsisten.

"Gabungan kekuatan jentera BN, sokongan rakan kerajaan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta kedudukan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri dan Persekutuan mewujudkan persepsi kestabilan politik yang kuat dalam kalangan pengundi.

"Faktor emosi berkaitan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin juga masih memainkan peranan," katanya.

Keputusan PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim berjaya mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya sejak 1999 dengan memperoleh majoriti 14,214 undi, menewaskan pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, Mohd Ismail turut melakar kemenangan di kerusi DUN Lamag dengan majoriti 5,681 undi, menewaskan pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis lepas.

-- BERNAMA
#PRK Kinabatangan #DUN Lamag #Barisan Nasional #kestabilan politik #analisis