POLITIK

Kestabilan politik kunci bangunkan Sabah setanding Sarawak - Masidi

Bernama 26/07/2025 | 08:08 MYT
Masidi bersama perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Agung Tahunan Sayap Gagasan Rakyat di SICC hari ini. - Bernama
KOTA KINABALU: Kestabilan politik dan kesinambungan kepimpinan merupakan kunci utama untuk membolehkan Sabah mencapai tahap pembangunan setanding Sarawak, kata Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata ketidakstabilan politik yang dialami Sabah sehingga mempunyai 16 Ketua Menteri berbanding hanya enam Premier dan Ketua Menteri di Sarawak sejak 1963 telah menjejaskan usaha penyelesaian masalah asas dan kesinambungan pembangunan negeri.

Menteri Kewangan Sabah itu berkata negeri ini perlu mencontohi pemikiran dan sikap rakyat Sarawak yang mengutamakan kestabilan politik dan kesinambungan usaha pembangunan bagi memastikan kemajuan negeri.

"Kita dibandingkan dengan Sarawak, masalah Sabah ialah kerajaan sering berganti. Ini sendiri mencerminkan betapa tidak stabilnya kedudukan politik dan kerajaan yang sering bertukar ganti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat 2025 di sini hari ini.

Masidi berkata pemikiran rakyat Sabah tidak harus dikongkong bagi memastikan mereka bebas dalam membuat keputusan dan kembali kepada semangat lagu "Sabah Tanah Airku" yang menekankan kemerdekaan pemikiran.

Beliau berkata sikap ego dalam politik masih menjadi penghalang utama dalam mewujudkan kestabilan politik dan kerjasama antara parti di Sabah, dengan semua mahu menjadi pemenang tetapi tidak ramai yang benar-benar sanggup bekerja keras.

"Jika kita terus berpegang kepada sikap 'saya mesti menang, yang lain mesti kalah', rakyat Sabah tidak akan bersatu selama-lamanya. Kita mesti melihat kepada kepentingan yang lebih besar, iaitu membangunkan negeri ini bersama-sama," katanya.

Masidi berkata kekayaan sumber yang dimiliki oleh Sabah tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa wujudnya semangat perpaduan dan kesediaan untuk bekerja keras dalam kalangan rakyat dan pemimpin.

-- BERNAMA


#Sabah #politik #kestabilan #Sarawak #Masidi Manjun #kepimpinan