Ketika PH akan bertarung dengan UMNO dan Pas, Abdul Hadi jumpa PM

Astro Awani
Februari 15, 2019 09:34 MYT
Abdul Hadi ditemani Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Gambar Pejabat Perdana Menteri
Esok merupakan hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih.
PRK DUN Semenyih ini bakal menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, akan menentang calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi dan calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul serta calon bebas aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
Selepas kejayaan di PRK Cameron Highlands, BN sekali lagi menggunakan formula bekerjasama dengan Pas untuk memastikan kemenangan.
Mesyuarat bersama dua parti itu Selangor telah dilakukan untuk memastikan jentera kempen dapat bekerjasama.
Namun, ketika Pas menyatakan sokongan kepada BN di Semenyih, presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH.
Pertemuan selama 45 minit itu bermula pukul 9 pagi Jumaat sebelum mesyuarat jawatankuasa pusat Bersatu di di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur.
Abdul Hadi ditemani Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ini merupakan kali kedua Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir selepas pertemuan pertama sebaik PH membentuk kerajaan tahun lalu.
#Abdul Hadi Awang #Bersatu #Dr Ahmad Samsuri Mokhtar #Dr Mahathir Mohamad #Kuala Lumpur #Malaysia #Pakatan Harapan #PAS #Takiyuddin Hassan #UMNO