Ketua Pembangkang: Tunggu kenyataan rasmi PN - Abdul Hadi

Madiha Abdullah
Disember 5, 2022 11:29 MYT
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang ditemui media di pekarangan IPD Sentul hari ini selepas memberi keterangan berhubung siasatan kes ucapan berbaur hasutan oleh beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan gabungan parti itu sudah melantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Presiden Pas itu bagaimanapun meminta agar semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada PN.
“Itu akan dibuat kenyataan. Kita sudah lantik dan PN akan buat kenyataan dalam masa terdekat,” jawabnya ringkas.
Beliau ditemui selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada Isnin.
Minggu lalu, Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis berhubung komen Abdul Hadi mengenai pengadil bola sepak memberikan “masa tambahan untuk pihak yang kalah".
Dalam pada itu, mengulas dakwaan PN sedang berusaha menjatuhkan kerajaan sedia ada, Abdul Hadi berkata, ia bergantung kepada reaksi rakyat.
"Kita akan lihat perkembangan selanjutnya, apakah tindakan kerajaan ini. Kita tunggu apa reaksi rakyat terhadap kerajaan pada hari ini, kerajaan yang saya tidak tahu nak diberikan nama apa (perpaduan atau sebaliknya)," katanya.
#Ketua Pembangkang #Perikatan Nasional #Abdul Hadi Awang #Dewan Rakyat