KUALA LUMPUR:Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin menafikan beliau salah seorang Ahli Parlimen yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan tersebut dibuat ketika temu ramah dalam program Breakfast Grill di stesen radio Bfm.

Nama Khairy merupakan antara 19 Ahli Parlimen UMNO tersenarai dalam mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Mesej berkenaan mendakwa kesemua mereka menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Mesej tersebut tular selepas Anwar mengadakan sidang media mendakwa ada cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan pada 23 September lepas. 

Nama Khairy Jamaluddin disebut-sebut berdasarkan laporan media menyokong satu lagi kem UMNO yang terpecah dua iaitu gerakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh juga antara individu yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lepas sejurus Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan perkara yang sama.


Menurut sumber kepada Astro AWANI, parti Melayu terbesar itu kini berpecah dua dengan Tengku Razaleigh menjadi penentang kepada gerakan yang dipercayai digerakkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah sumber, gerakan diketuai Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li itu mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin berpengaruh UMNO seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Setakat ini, Ketua-ketua parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah juga dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir kelak.

Malah, sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir mengesahkan terdapat usaha dan perundingan untuk membentuk kerjasama di antara dua tokoh veteran politik tersebut.