Khalid Samad sanggah Dr Mahathir

Astro Awani
Oktober 26, 2019 05:11 MYT
Khalid berkata, sesuatu perhimpunan itu bukan masalah tetapi apabila isi kandungan dan perbincangannya membawa kepada persengketaan kaum ia adalah perkauman. - Gambar fail
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berpendapat, Kongres Maruah Melayu boleh saja diadakan, namun isi kandungan perhimpunan itu yang mencetuskan masalah.
Kenyataan Khalid itu sekali gus menyanggah pendapat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertahankan perhimpunan tersebut.
Menerusi hantaran di laman Twitternya, Khalid berkata, perbincangan dalam sesuatu perhimpunan yang boleh membawa kepada persengketaan kaum merupakan satu masalah.
"Perhimpunan itu bukan masalah tetapi isi kandungannya. Semua kaum malah suku berhimpun untuk membincang masalah mereka dan bagaimana mahu menambahbaik kedudukan mereka dan negara.
“Tetapi apabila ia mencetuskan kebencian kaum dan persengketaan, ia jadi perkauman,” katanya.

The gathering is not the problem but the content. All races, even clans, have gatherings amongst themselves to discuss their problems and how to improve their position and that of the nation. But when it works to create racial hatred and strife, then it becomes racist.. https://t.co/CqX1qNvplP

— Khalid Samad (@KhalidSamad) October 25, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Jumaat, Dr Mahathir menyatakan rasa kesal dan kecewanya apabila orang Melayu dan Bumiputera di negara ini tidak boleh mengadakan perhimpunannya sendiri untuk membincangkan nasib dan masa depan kaum itu, tanpa terlepas daripada dilabel sebagai rasis.
Dalam catatan di blog peribadinya bertajuk “Malay Dignity Congres”, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, ia adalah situasi yang menyedihkan kerana orang Melayu dan Bumiputera banyak bertoleransi dengan kaum lain.
“Apabila banyak jajahan Eropah mencapai kemerdekaan, kebanyakan orang bukan asal di negara itu telah didiskriminasi. Ada yang terpaksa meninggalkan negara itu, ada yang diserang secara ganas.
“Berbeza pula dengan negara ini. Orang bukan penduduk asal telah diterima menjadi warganegara. Malah, lebih sejuta bukan penduduk asal telah diberi taraf kewarganegaraan, walaupun hakikatnya mereka tidak layak,” kata Dr Mahathir lagi.
Perdana Menteri berkata, beliau amat terkejut apabila dinasihati untuk tidak menghadirkan diri ke Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 6 Oktober lepas.
#Amanah #Bersatu #Khalid Samad #Kongres Maruah Melayu #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan