POLITIK

Kolaborasi Agung: Idea yang belum jelas bentuk dan arah tuju - Fadhli Shaari

Astro Awani 19/01/2026 | 12:36 MYT
Gagasan ini kelihatan kurang meyakinkan, terutama dari sudut hala tuju dan matlamat akhirnya, kata Fadhli. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan Kolaborasi Agung masih belum jelas arah tujunya, kata Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, walaupun cadangan yang dilontarkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 nampak hebat namun begitu isinya masih tidak meyakinkan.

“Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa pada hakikatnya masih berupa idea yang belum jelas bentuk dan arah tuju. Namanya hebat, tetapi isinya belum meyakinkan,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Pada masa sama Fadhli turut mempersoal apakah hala tuju politik gagasan itu pada masa hadapan walaupun ia menggambarkan suatu gabungan yang menyeluruh.

“Mungkin belum pernah wujud di bumi Malaysia sebuah kerjasama politik dengan nama sebesar itu… namun, gagasan ini kelihatan kurang meyakinkan, terutama dari sudut hala tuju dan matlamat akhirnya,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa cadangan tersebut bukan kerjasama politik dan tidak bertujuan menggugat Kerajaan Madani

Pada masa sama beliau turut mempersoalkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai idea Rumah Bangsa yang perlu direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 16.

Mengulas lanjut Fadhli berkata jika gagasan ini bukan kerjasama dan tidak berkait dengan gerak kerja politik, mengapa ia perlu direalisasikan sebelum PRU-16.

Secara sinis, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berpendapat jika cadangan tersebut sekadar kolaborasi maka jadikanlah ia sekadar kerjasama untuk tujuan kemasyarakatan.

“Jadikanlah ia kerjasama bagi tujuan sosial atau kemasyarakatan, seperti kenduri besar atau himpunan muafakat, tanpa sebarang matlamat politik,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyatakan hasrat untuk membentuk sebuah gabungan besar yang melibatkan beberapa parti politik Melayu-Islam.

Tambahnya, kolaborasi itu bersifat longgar (loose collaboration) dan bukan penubuhan sebuah parti politik baharu, namun disifatkan sebagai langkah awal yang penting ke arah penyatuan lebih besar.



#Ahmad Fadhli Shaari #PAS #UMNO #kolaborasi agung