Skip to main content
Advertisement

Politik

[KOLUMNIS] Memahami bahasa PKR

MELAKA, 16 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyempurnakan pelancaran buku Temu Fikrah pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini._BERNAMA
"Nak faham bahasa PKR, kena mula dengan Presidennya - juga Perdana Menteri - Datuk Seri Anwar Ibrahim."
Advertisement

SEJAK muda, Kongres PKR adalah antara yang saya akan hadiri walau di mana sahaja ia diadakan. Untuk tahun ini, saya ambil keputusan untuk ke Bangkok - menjadi spectator dan berlatih HYROX, sebelum menyertai Mumbai pada September dan Seoul pada November.

Kongres Nasional PKR 2026 berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh - dibuka dengan kongres sayap Angkatan Muda dan Wanita pada 14 Ogos, sebelum kongres induk dua hari pada 15 dan 16 Ogos. Taruhannya kali ini lebih berat: ini kongres pertama selepas kekalahan PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara saya memerhati atlet berlumba di Bangkok, kawan-kawan di Melaka pula berlumba dalam
acara lain - siapa paling layak jadi juara bahasa.

Sebab kalau ada satu perkara paling menarik tentang Kongres PKR, ia adalah bahasa. Campuran bahasa
Reformasi 1998, istilah agama, sastera Melayu, akademik, dasar awam dan sekali-sekala English political jargon.

Tema tahun ini pun sudah cukup untuk buka kelas:

"Memugar Reformasi, Membina MADANI."

Sebagai budak flat, saya berhenti sekejap.

Memugar itu apa?

Dalam kongres ia diterangkan sebagai rejuvenate - menghidupkan kembali semangat dan idealisme
asal. Bahasa flat: benda dah lama, kita repair, kasi hidup balik.

Reformasi pula saya tanya kakitangan saya, Gen Z 25 tahun. Dia pun cari: usaha membaiki sistem yang
tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya. Maksudnya kalau rosak, jangan cat sahaja. Betulkan.

MADANI? Paling mudah: negara yang bukan sekadar maju bangunannya, tetapi manusianya hidup
lebih baik dan lebih adil.

Cantumkan ketiga-tiganya: yang rosak kita betulkan, yang baik kita kuatkan, lepas itu pastikan rakyat
hidup lebih baik.

Tiga konsep pada satu backdrop sudah makan beberapa perenggan.

Dan kita belum masuk ucapan.

Bila Anwar mula bercakap

Nak faham bahasa PKR, kena mula dengan Presidennya - juga Perdana Menteri - Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian besar kosa kata parti ini datang daripada tradisi bahasanya sejak puluhan tahun.

Orang biasa kata ubah, Anwar kata reformasi.

Orang biasa kata baiki, masuk pula islah.

Niat jadi nawaitu. Melawan kebiasaan jadi menongkah arus. Maruah manusia jadi karamah insania. Dan ini bukan saya reka. Reformasi dan islah, kata Anwar, mesti berakhir dengan mengangkat martabat
manusia.

Jadi kalau anda pertama kali masuk Kongres PKR dan terdengar islah, nawaitu, kedaulatan rakyat,
integriti institusi, idealisme...

Jangan panik.

Itu baru Presiden.

Fadhlina masuk dengan hulubalang

Kalau Anwar bawa bahasa falsafah dan agama, Ketua Wanita PKR merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bawa bahasa Melayu yang rasa macam kongres politik bertemu hikayat.

Kongres ialah "pentas suara akar umbi." Kita perlu "muhasabah jama'i." Kritikan "dirungkai," ucapan pimpinan "dirangkul," kemudian "dicanai menjadi agenda bertindak" demi "nurani rakyat."

Dan akhirnya muncul perkataan kegemaran saya: hulubalang. Parti mesti buka ruang kepada "hulubalang-hulubalang baharu" memimpin. Ditutup pula dengan pantun.

Maksud dia sebenarnya mudah: dengar orang bawah, mengaku kalau salah, bagi orang baru peluang,
lepas itu kerja.

Nasib baik Fadhlina juga bagi satu ayat yang tak perlukan Kamus Dewan:

"Kita sudah tiada masa untuk hal yang remeh-temeh."

Yang itu semua faham.

Kamil bawa 'policy deck'

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim - Setiausaha Politik
kepada Menteri Kewangan - pula datang dengan bahasa generasi polisi: mobiliti sosial, reformasi
institusi, kaderisasi, ekonomi platform, AI, politik nilai.

Kalau Fadhlina bawa Kamus Dewan, Kamil bawa policy deck.

Tapi Kamil antara yang paling berjaya menterjemah istilah besar kepada kehidupan.

Tentang ekonomi anak muda: "Ekonomi ialah boleh atau tidak aku membayar sewa. Boleh atau tidak
aku membantu ibu dan ayah."

Tentang akar umbi: "Politik akar umbi bukan memasang bendera. Politik akar umbi ialah membina
kepercayaan."

Tentang kaderisasi: "Populariti boleh menghasilkan pengikut. Ilmu menghasilkan pemimpin."

Reformasi institusi pula definisinya mudah: Perdana Menteri bertukar, institusi mesti kekal kuat. Parti
bertukar, negara tetap berjalan.

Jangan cuma tukar orang. Betulkan sistem.

Nurul Izzah: Kelas falsafah

Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar ada dialek tersendiri. Di sini kita masuk kelas lanjutan: kalis
fraksi, dua nakhoda mengemudi satu kapal, winner's curse, red line - dan satu perkataan yang diulang
berkali-kali: amanah.

Tenaga untuk berlawan sesama sendiri, katanya, ialah masa yang hilang untuk memenangi hati rakyat.

Soalan paling pentingnya langsung tidak bombastik:

"Untuk siapa sebenarnya kita berjuang?".

Semuanya kembali kepada amanah. Tanpanya, ilmu hilang tujuan, kuasa hilang batas, reformasi tinggal
slogan.

Dalam penggulungan, silibus bertambah. Nurul memetik Marcus Aurelius -  satu hari nanti kita
semua akan dilupakan. Jawatan bertukar, gelaran hilang. Yang tinggal ialah kerja dan nilai. Dan satu
pesanan: "Take the higher road."

Kalau anda pening sedikit, saya faham. Saya pun tengah belajar.

Anwar naik untuk penggulungan

Kalau penggulungan Nurul kelas falsafah, Anwar datang untuk final exam.

Mula-mula Robert Frost. The Road Not Taken. Ada jalan senang, ada jalan susah. Kita pilih jalan susah
kerana prinsip. Jadi jangan terkejut bila ia susah.

Kemudian masuk asabiah, ananiah, ghanimah, tawakal. Jangan risau kalau tak faham semua. Saya pun
kena cari.

Kekalahan pula, katanya, tidak boleh diletakkan atas seorang manusia. Kalau kalah, kita muhasabah
ramai-ramai.

Dekat penghujung, Anwar bawa kita ke Yunani. Homer, Odysseus, Ithaca - metafora "jalan pulang."

Tapi jalan pulang itu bukan Putrajaya. Ia kembali kepada idealisme dan tujuan perjuangan.

Arahan terakhirnya jauh lebih mudah: "Work now and work hard. Tak ada shortcut."

Yang itu saya sangat faham.

Di sebalik pentas

Setakat ini semua bahasa itu datang dari atas pentas.

Tapi di lantai dewan, benda lain pula berlaku. Para pembahas - suara akar umbi yang cuma dapat beberapa minit di depan mikrofon - tidak berlumba menambah istilah. Mereka bercakap tentang bahasa itu sendiri. Bahasa yang patut difahami rakyat.

Pemimpin di atas berlumba memperkaya kamus.

Pembahas di bawah mengingatkan: rakyat tidak membuka kamus.

Afdlin cuma perlukan satu perkataan

Pembahas Wilayah Persekutuan, Afdlin Shauki - hulubalang baharu yang menewaskan Nik Nazmi
untuk Ketua Cabang Setiawangsa - datang dengan satu perkataan: rasa.

"Kita boleh menang dasar. Kita boleh menang angka. Kita boleh menang pengumuman. Tapi kita belum
tentu menang rasa."

Tegurannya lebih tajam: "Mungkin masalahnya bukan rakyat yang tak faham kita. Mungkin kita belum
cukup memahami rakyat."

Contoh subsidinya paling tepat. Di Putrajaya kita cakap penyasaran, ketirisan, penjimatan fiskal. Rider
di bawah tanya: "Minyak aku bulan depan macam mana?" Makcik tanya barang naik lagi atau tidak.

Afdlin namakannya: "Inilah perbezaan antara bahasa dasar dan bahasa kehidupan."

Bagi saya, itu antara ayat paling penting sepanjang kongres.

Rakyat tidak makan angka

Pembahas Perlis, Datuk Ismail Abidin, selesaikan satu kuliah panjang dengan satu ayat:

"Rakyat tidak makan angka, rakyat makan nasi."

GDP boleh naik. Ringgit boleh kuat. Pelaburan boleh berbilion. Tapi orang akhirnya tanya: aku dapat apa? Gaji naik? Barang turun? Hujung bulan ada duit lagi?

Itulah bahasa kehidupan.

Veteran ingatkan makna memugar

Mohd Zukri Aksah, mewakili Biro Veteran, tengok memugar dari sudut lain. Kalau nak Memugar Reformasi, jangan lupa orang yang bina Reformasi ketika parti belum ada apa-apa - yang hilang wang dan kerjaya, dan kini ada yang tua, sakit, hidup susah.

Memugar, kata beliau, juga bermaksud memulihkan luka reformis lama yang rasa dilupakan setelah parti masuk lingkaran kuasa.

Bila dah senang, jangan lupa siapa yang susah dengan kita dulu.

Dan seakan menjawab luka itu, Setiausaha Agung Fuziah Salleh dalam ucapan alu-aluannya berkata: "Luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan."

Malah Ketua Penerangan sendiri minta maaf

Kalau semua teguran tadi kedengaran seperti masalah yang saya reka, rupanya kongres sendiri mengakuinya.

Dalam penggulungan, Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, secara terbuka meminta maaf kepada perwakilan atas kekurangan dan kelemahan komunikasi serta penerangan parti.

Fahmi mengaku sesuatu yang lebih besar daripada segala angka: 

"Emosi boleh mengalahkan prestasi."

Gambarannya mudah. Kerajaan mungkin berjaya dalam ekonomi periuk - KDNK, pelaburan, rizab. Tetapi yang dekat dengan rakyat ialah ekonomi perut - gaji, barang dapur, petrol. Dan sebelum sesuatu sampai ke hati, kata Fahmi, ia perlu melalui perut dulu.

Periuk. Perut. Hati.

Bunyinya macam Afdlin.

Dalam satu lagi perbahasan, tegurannya lebih terus-terang:

"Kalau anggota parti sendiri kita tidak mampu menerangkan dasar dengan mudah, bagaimana kita mahu rakyat memahaminya?"

"Penerangan bukan kerja sampingan. Penerangan ialah barisan hadapan perjuangan politik kita." 

Dan penutupnya:

"Mari kita terjemahkan Ekonomi MADANI kepada bahasa rakyat."

Pembahas Perak, Mohd Khairol Iwan Mat Khairi, bagi ukuran paling praktikal: bukan berapa banyak program diumumkan, tapi adakah rakyat tahu dan adakah yang layak benar-benar dapat. Kalau warga emas tak tahu dia layak dan ibu tunggal tak tahu cara memohon, katanya, "ada sesuatu yang belum selesai."

Inilah ironinya. Kongres yang menghasilkan bahasa paling besar juga kongres yang paling banyak mengingatkan ahlinya supaya jangan bercakap dalam bahasa yang hanya mereka sendiri faham.

Kamus saya

Selepas kongres ini, saya ada kamus Bahasa PKR sendiri. Memugar Reformasi: hidupkan balik apa yang pernah kita perjuangkan. Karamah insania: hormati maruah manusia. Hulubalang baharu: bagi orang baru peluang. Amanah: kuasa ini pinjaman. MADANI: mesti dapat dirasai dalam kehidupan rakyat.

Dan yang paling mudah: rasa.

Tapi kamus ini bukan untuk disimpan. Ia untuk dibawa turun.

Bahasa pentas itu wajar

Mudah nak buat kesimpulan malas: pemimpin PKR cakap terlalu tinggi.

Saya tak fikir begitu.

Bahasa pemimpin utama itu wajar. Politik perlukan falsafah. Gerakan perlukan sejarah. Parti perlukan nilai. Presiden yang hanya cakap harga ayam setiap hari tidak mampu bagi arah kepada negara.

Itu bahasa pentas. Dan pentas memang tempatnya.

Tapi rakyat yang hanya diberi falsafah setiap hari tidak mampu membayar sewa.

Masalahnya bukan di atas pentas.

Kerja terjemahan di bawah pentas

Masalahnya ialah apa yang berlaku selepas Anwar turun dari pentas.

Karamah insania tak sepatutnya terbang terus dari pembesar suara ke telinga rakyat. Ia perlu melalui satu lapisan manusia: pemimpin lapisan kedua dan ketiga. Ketua cabang. Pimpinan AMK dan Wanita. ADUN dan Ahli Parlimen. Jentera penerangan.

Tugas kita bukan mengulang perkataan Presiden dengan lebih kuat.

Tugas kita menterjemahkannya.

Karamah insania mesti jadi cara makcik dilayan di kaunter kerajaan. Reformasi institusi mesti jadi sistem yang rakyat rasa adil. Memugar Reformasi mesti jadi cara parti jaga orang lamanya. MADANI mesti sampai ke sekolah, hospital, gaji dan poket rakyat.

Kalau tidak, semuanya tinggal perkataan, seminar, tema backdrop dan papan tanda.

Kongres di Melaka dah pun tunjuk caranya.

Rasa. Nasi. Luka. Maaf.

Falsafah dari atas pentas. Terjemahan dari lantai dewan. Yang tinggal ialah kita di lapisan kedua dan
ketiga - termasuk saya -  untuk pastikan bahasa itu sampai kepada rakyat di bawah pentas.

PKR tidak kekurangan perkataan.

Yang kurang ialah penterjemah.

Saya memerhati perlumbaan HYROX di Bangkok. Mereka berlumba dengan bahasa di Melaka. Dua-duanya dalam dewan besar, dua-duanya complicated, dan dua-duanya kena berlatih - bukan sahaja untuk menang, tetapi sekurang-kurangnya untuk sampai ke garisan penamat.

Bezanya, HYROX tengah trend merentas generasi.

PKR dulu pun pernah begitu. Reformasi pernah jadi bahasa generasi. Ia seksi, rebellious, muda. Orang
mahu masuk ke dalamnya.

Hari ini kadang-kadang kita nampak sedikit tryhard.

Saya cerita HYROX bukan sebab nak poyo. Saya cuma nak maklumkan: saya 39 tahun, dan saya sedang cuba masuk ke acara generasi ini.

Saya tak minta HYROX ikut bahasa saya. Saya yang kena belajar bahasanya, faham budayanya dan masuk ke dunianya.

Mungkin PKR pun kena buat benda yang sama.

Masuk ke generasi - bukan paksa generasi masuk ke bahasa PKR.

Di HYROX, garisan itu memang jelas. Dalam politik, ia lebih sukar.

Bukan bila rakyat boleh menyebut karamah insania. Bukan bila mereka tahu beza islah dengan reformasi. Dan bukan apabila mereka boleh menerangkan apa itu MADANI.

Tetapi apabila mereka tidak lagi perlukan kamus untuk memahami kita.

Kerana mereka sudah boleh merasainya.


*Syafiq Sunny ialah seorang penulis, kolumnis, dan penganalisis politik.

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement