GEORGE TOWN: Chow Kon Yeow diminta supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan ada pihak dari luar dan dalam DAP yang sedang merancang untuk menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri dengan membuat pelantikan baharu.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang diminta untuk mengemukakan bukti tersebut kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sekiranya ada.

Menurutnya, tindakan itu perlu agar parti dapat menangani isu itu secara dalaman.

"Sehingga kini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana pemimpin atau ahli parti di Pulau Pinang yang terlibat di dalam usaha untuk menjatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

"Dakwaan tidak berasas seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan fokus sebenar daripada mentadbir Kerajaan Perpaduan di negeri ini secara cekap, amanah dan telus.

"Sekiranya Kon Yeow mempunyai bukti, beliau seharusnya menyerahkannya kepada Anthony supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, Anthony secara terbuka telah menolak dakwaan Kon Yeow bahawa terdapat plot yang dicatur dari dalam dan luar parti untuk menggantikan beliau.

"Anthony dengan tegas menyatakan bahawa tidak pernah timbul isu bagi menggantikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri. Kenyataan ini sepatutnya menoktahkan ura-ura kononnya ada pihak mahu menjatuhkan beliau yang dimulakan secara tiba-tiba oleh beliau sendiri.

"Sehingga ke hari ini, Kon Yeow masih lagi tidak memberikan sebarang bukti bahawa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat kemungkinan Guan Eng akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri yang lalu.

Bagaimanapun pada 5 Mei lalu, Kon Yew berkata, Guan Eng yang pernah berkhidmat selama dua penggal sebelum atau selepas pindaan Perlembagaan Negeri yang diluluskan pada 2018, tidak boleh dilantik semula.

Kon Yeow berkata, pindaan itu secara jelas menunjukkan bukan sahaja Guan Eng tidak boleh kembali ke jawatan itu semula, ia juga termaktub kepada beliau pada masa akan datang.

Bagaimanapun pada Isnin, Anthony berkata, tiada keperluan untuk DAP menukar Ketua Menteri Pulau Pinang yang disandang Kon Yeow ketika ini sejak 13 Ogos lalu.

Anthony berkata, tiada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian. - Sinar Harian