Kongres Nasional Tahunan Anggota Muda Keadilan (AMK) 2019 akan dirasmikan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 6 Disember depan.

Jelas Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir keputusan dicapai dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat AMK yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR pada Ahad.

“Keputusan yang telah dicapai organisasi, keputusan tertinggi dibuat majlis pimpinan pusat, ketetapan itu telah dibuat. Maka kita akan meneruskan kongres kali ini dengan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri (merasmikannya),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, isu perasmi Kongres Nasional AMK seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini tidak timbul dan ia perlu mengikut saluran yang betul.

“Isu itu adalah kelaziman, dalam keadaan sekarang sokongan rakyat perlu diberi penekanan serius. Maksudnya platform AMK ini adalah salah satu lagi platform dalam pakatan PH untuk menyuarakan isu anak muda.

“Walaupun dilihat berbeza sikit, tapi bukan kali pertama perasmian AMK dan Wanita, perasmi itu tidak terikat dengan mana-mana jawatan. Bukan soal kenapa kali ini berubah, tetapi di peringkat kepimpinan kita hendak pastikan agenda anak muda diangkat lebih jauh. Dengan hasrat untuk tunjuk Keadilan adalah gabungan terkuat dalam Pakatan Harapan (PH) dan kita hendak bagi komitmen,” ujar Akmal dalam sidang media.

Malah jelasnya, tidak seharusnya wujud usaha untuk menggagalkan dan memesongkan tujuan utama Kongres AMK itu.

Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 6 Disember depan.