Kongres perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mungkin yang terakhir dihadiri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku presiden parti.

Tokoh politik berusia 76 tahun itu yang mengasaskan PBS pada Mac 1984, berkata beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, yang bermakna mungkin beliau tidak lagi menerajui parti berusia 31 tahun itu.

"Saya mahu bersara. Saya mahu bermain dengan cucu dan menulis buku.

"Tetapi sama ada ya atau tidak saya akan masih menjadi presiden (parti) ketika itu (pada pilihan raya umum akan datang) bergantung sama ada PBS akan mengadakan pemilihan parti, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada kongres itu, di sini.

Pairin yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, juga ialah anggota Parlimen Keningau dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tambunan.

Katanya beliau telah melantik Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, sebagai pemangku presiden dan yakin dengan kepimpinan Ongkili.

Berhubung usaha penyuburan parti, katanya anggota muda PBS kini lebih terbuka dalam menerima perjuangan parti dan lebih banyak daripada mereka telah menunjukkan kewibawaan untuk menjadi pemimpin parti di masa depan.

Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Pairin berkata PBS kini giat menjalankan kempen menambah keanggotaan parti di seluruh negara dengan fokus untuk menarik golongan muda menyertai PBS dan meneruskan perjuangan parti.

Beliau juga berkata Majlis Tertinggi PBS telah memutuskan untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung dengan dua cawangan pertama akan dibuka pada Januari tahun depan.

"Anggotanya akan terdiri daripada anak kelahiran Sabah, yang bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, dan rakyat Malaysia daripada semua kaum yang berminat untuk menyertai parti pelbagai kaum kami ini," katanya. -- Bernama