KUALA LUMPUR : Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan memutuskan untuk menunda tarikh Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke 16 dan 17 Julai depan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Kongres berkenaan pada asalnya dijadualkan diadakan pada 24 hingga 26 Jun ini.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, keputusan menunda kongres dibuat selepas MPP Keadilan meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022.

"(Keputusan diambil) setelah meneliti dan memberi pertimbangan kepada pembentangan JPP ini, dengan mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk JPP mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, serta untuk memberi masa yang mencukupi kepada kepimpinan cabang yang baharu untuk membuat beberapa pelantikan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan, Kongres Angkatan Muda Keadilan Pusat serta Kongres Wanita Keadilan Pusat pula akan diadakan serentak pada 15 Julai depan di lokasi yang sama.