KUALA NERUS: Konsep kerjasama di antara UMNO dan Pas yang terbentuk menerusi Muakafat Nasional (MN) dilihat semakin sukar untuk diperjuangkan.

Namun, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpandangan semangat pemuafakatan yang terjalin di antara kedua-dua parti masih boleh diteruskan dalam konteks lain.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata mungkin kedua-dua parti boleh bekerjasama dalam hubungan yang mendatangkan manfaat kepada ummah dan negara.

"Mula-mula kita memang sangat mengalu-alukan konsep Muafakat Nasional, tapi mutakhir ini menghadapi kesukaran untuk kita nak mengamalkan konsep Muafakat Nasional.

"Walau apa jua keadaan, macam mana pun, saya harap semangat pemuafakatan itu tidak akan padam.

"Mungkin kita boleh bekerjasama dalam konteks yang berlainan, asalkan dia boleh datangkan manfaat kepada ummah dan kepada negara keseluruhannya," kata Najib.


Terdahulu, UMNO menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat 'nyawa-nyawa ikan'.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa depan MN biar dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti.

Sementara itu, mengulas tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Najib menyerahkan kepada kepimpinan untuk menentukan waktu yang sesuai.