KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dijadual pada 14 Mei ini menjadi medan penting dalam memastikan kesefahaman dan komitmen semua parti gabungan untuk mengutamakan agenda rakyat, berbanding parti politik.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata konvensyen itu yang dijangka menghimpunkan lebih 10,000 ahli parti akan menterjemahkan keserasian bukan sahaja di peringkat tertinggi, tetapi juga akar umbi.

Jelas beliau, konvensyen julung kali sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan enam bulan lalu akan disertai oleh 19 parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia ini lahir atas hasrat untuk kita memulakan satu hubungan erat yang lebih kukuh dan ampuh. Bermula di peringkat nasional dan insya-Allah kita akan mula turun ke negeri-negeri sehingga ke peringkat Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Biasalah sedangkan lidah lagi tergigit, kita tak boleh mengharapkan bahawa kerjasama yang sudah terbentuk ini tidak ada sedikit sebanyak salah faham atau perbezaan pandangan. Itu biasa tetapi Alhamdulillah kita lihat sepanjang enam bulan membentuk Kerajaan Perpaduan, ia berbeza dengan pengalaman Pakatan Harapan (PH) (meneraju kerajaan) selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"(Pentadbiran Kerajaan Perpaduan) Kita tak dengar isu-isu sensitif yang melibatkan mana-mana pihak baik Islam, Bumiputera ataupun melibatkan bangsa atau kaum lain," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam sidang dan taklimat media berkenaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Bertemakan 'Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia', Asyraf Wajdi berkata program berskala besar itu akan menjadi titik tolak ke arah kerajaan yang lebih utuh, dengan matlamat yang jelas memastikan kestabilan politik terus dipertahankan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia juga menjadi keutamaan kepada setiap parti gabungan untuk menyatakan tekad dan keazaman secara bersama dalam memastikan agenda yang dilaksanakan kerajaan didokong oleh semua.

"Kita tidak mahu peristiwa-peristiwa lampau (berulang), cukuplah empat setengah tahun kita tidak berdepan dengan kestabilan dan memberi kesan yang pedih kepada rakyat," tambahnya.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO menambah, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia akan diadakan dalam dua sesi secara setara iaitu melibatkan Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda serta Puteri bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL).

Manakala sesi utama pula, jelas Asyraf Wajdi dijadual berlangsung pada pukul 2 petang dengan Sidang Bicara Rakyat yang terbahagi kepada tiga sub-sesi termasuk melibatkan pembentangan oleh wakil-wakil pemimpin daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Pada sesi tersebut, wakil pemimpin akan menyentuh isu berkaitan rakyat terutamanya ekonomi, soal masa depan pembinaan negara bangsa serta Konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat," katanya lagi.

Sub-sesi kedua akan mengumpulkan presiden-presiden yang juga pengerusi parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan, sementara sesi kemuncak adalah amanat oleh Perdana Menteri, yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bermesyuarat secara rasmi kali pertama bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa dalam memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi.

Tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.