Kosongkan kerusi bukan khianat, tetapi curi wang rakyat itu khianat - Saifuddin Nasution

Firdaus Azil
September 12, 2018 08:58 MYT
SAIFUDDIN: Hak Datuk Seri Anwar untuk berkhidmat kepada rakyat dinafikan apabila beliau diseret ke mahkamah lima tahun lepas. - Foto Bernama
Tidak timbul soal khianat kepercayaan rakyat semata-mata tindakan seorang ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Presiden parti yang baharu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Tegas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, istilah ‘khianat itu lebih sesuai digunakan ke atas mereka yang terbukti menyalahgunakan kuasa, mencuri wang awam, serta menggunakan kedudukan untuk melakukan penindasan ke atas rakyat.
“Dalam satu sistem demokrasi...di mana jalan untuk kita mewakili rakyat dalam parlimen adalah melalui proses pilihan raya.
“Dan dalam kedudukan ini ianya dibuat dengan maksud yang khusus, bagi melaksanakan satu ketetapan konsesus (memastikan Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya,” katanya kepada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini.
BACA: Anwar Ibrahim sah bertanding di Port Dickson
BACA: Saya sudah telefon Tun M maklum Port Dickson pilihan saya - Anwar Ibrahim
Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia berkata, Anwar sepatutnya sehingga ke hari ini masih berkhidmat sebagai wakil rakyat, tetapi hak itu telah direntap apabila beliau diseret ke penjara lima tahun lepas.
“Dan sekarang dia bebas untuk mengambil bahagian. di sana ada ahli parlimen Keadilan yang berpendapat, kiranya diberi laluan kepada Datuk Seri Anwar, dia akan dapat menjayakan sebahagian daripada misi besar iaitu konsensus Pakatan Harapan
“Jadi niat murni itu saya tak anggap ianya satu pengkhianatan, kerana dia satu proses yang legitimate untuk Datuk Seri Anwar, jika menang, mewakili kawasan itu dan akan terus memberi khidmat seperti mana Datuk Danyal sebelum ini,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #Pakatan Harapan #Parlimen #Perdana Menteri #Petaling Jaya #Saifuddin Nasution