Pengerusi MIC Melaka, Datuk S Mahadevan berkata parti itu telah mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya parti politik yang mempunyai dua presiden.

Bagaimanapun katanya seorang lagi 'presiden' tersebut merupakan presiden yang dilantik sendiri.

"Dalam sejarah politik Malaysia ni.. hanya ada satu parti iaitu MIC yan ada dua presiden - satu sah, satu lantik sendiri.

"Mana boleh satu rumah ada dua bapa... ibu satu, bapa dua," katanya sinis di hadapan ribuan ahli MIC pada satu perhimpunan khas yang diadakan di Dewan Merdeka, PWTC pada Sabtu.

Perhimpunan itu menyaksikan kira-kira 10,000 ahli MIC dan pemimpin-pemimpin negeri parti dari seluruh negara, hadir bagi menyatakan sokongan terhadap presidennya, Datuk Seri G Palanivel.

Krisis MIC menjadi semakin runcing apabila Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam Selasa lalu mengumumkan menjadi pemangku Presiden MIC menggantikan Palanivel.

Katanya, selain dirinya, bekas Setiausaha Agung, A. Sakthivel dilantik menjadi Setiausaha Agung dan bekas Ketua Pemuda MIC, Senator Datuk S. A. Vigneswaran dilantik menjadi Setiausaha Eksekutif.

Bagaimanapun Palanivel pada Rabu pula menegaskan beliau masih Presiden MIC dan menafikan dakwaan jawatankuasa kerja pusat parti yang beliau telah hilang keanggotaannya secara automatik.

Katanya peruntukan Perlembagaan MIC dengan apa cara pun tidak menjejas keanggotaan ahli yang mengambil proseding undang-undang terhadap pihak ketiga.

Tambah beliau, anggota hanya disekat dari mengambil proseding undang-undang terhadap CWC atau parti dan bukan sebaliknya.

Dalam pada itu, Subramaniam dijangka mengadakan perhimpunan yang sama pada Ahad.