Kuasa lancar laman web pantau 20 kerusi Parlimen

Astro Awani
April 12, 2021 05:20 MYT
Praba menjelaskan, laman web itu membantu ahli parti politik kerana biasanya perbincangan calon dan kerusi tidak dihebohkan. - Facebook Praba Ganesan
KUALA LUMPUR: Laman web untuk memantau 20 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan membantu pengundi mengetahui maklumat calon dipilih mahupun yang telah ditentukan berdasarkan berita dan maklumat dari sumber-sumber parti.
Presiden Pertubuhan Kebangkitan Usaha Angkat Suara Awam (Kuasa), Praba Ganesan menjelaskan, ia membantu ahli parti politik kerana biasanya perbincangan calon dan kerusi biasanya tidak dihebohkan.
"Kengkangan maklumat ini mengancam salah satu prinsip demokrasi yang penting, kebolehan pengundi untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang secukupnya.
"Maklumat awal dan relevan juga meningkatkan kuasa pengundi untuk memberi maklum balas kepada parti-parti berhubung calon-calon yang bakal dinamakan," katanya semasa sidang media secara maya pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, laman web itu juga akan menjejak maklumat Parlimen, kerusi, pertandingan sebelum ini dan calon yang ada peluang dipilih mahupun yang telah ditentukan.
Ia akan sentiasa dikemaskini selain maklumatnya boleh digunakan sebagai sumber.
Tambahnya, projek pada peringkat permulaan hanya melibatkan 20 kerusi kerana dana agak terhad.
Ujarnya, ada kemungkinan untuk meningkatkan bilangan kerusi untuk dipantau, dalam masa akan datang termasuk kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak jika sumbangan mencukupi.
#Parlimen #pilihan raya #politik #KUASA #dana #pilihan raya umum #PRU15