Kukuhkan UMNO dulu, baru bina semula BN - Asyraf Wajdi

Firdaus Azil
Jun 24, 2018 21:10 MYT
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baharu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) bersama Naib Ketua sayap itu Shahril Sufian Hamdan pada Ahad. --fotoBERNAMA
Keutamaan akan diberikan kepada aspek pengukuhan UMNO sebelum membina semula kekuatan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemudanya yang baharu, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, sejarah membuktikan sekiranya UMNO itu berjaya diperkukuhkan dan diterima rakyat, parti komponen BN yang telah pergi akan kembali menyertai gabungan itu.
“Dahulu mungkin kita bersifat menyendiri, Pemuda UMNO, MIC dan MCA bergerak berasingan. Tetapi kali ini kita hendak jalinkan hubungan lebih akrab supaya persefahaman itu dapat dibina dari awal lagi, bukan hanya apabila dekat dengan pilihan raya umum sahaja.
“Tetapi, kita hendak fokuskan kepada pengukuhan dalam sayap Pergerakan Pemuda UMNO dahulu,” katanya pada satu sidang media pada Ahad selepas diumumkan Setiausaha Kerja Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Pemuda yang baharu, menggantikan Khairy Jamaluddin.
Dalam pemilihan kali ini, Asyraf Wajdi telah menewaskan lapan pencabar termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, Senator Khairul Azwan Harun, Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dan ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah.

Keputusan Pemilihan Sayap Pergerakan UMNO Ketua Pemuda: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Wanita: Datuk Noraini Ahmad Ketua Puteri: Datuk Zahida Zarik Khan@501Awani #PemilihanUMNO2018

— F.A Awani (@FirdausAzil) June 24, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Naib Ketua Pemuda: Shahril Hamdan Suffian Naib Ketua Wanita: Datuk Norliza Abdul Rahim Naib Ketua Puteri: Nurul Amal Mohd Fauzi @501Awani #PemilihanUMNO2018

— F.A Awani (@FirdausAzil) June 24, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
BACA: Pemilihan UMNO: Noraini, Asyraf dan Zahida menang jawatan ditandingi
Bercakap mengenai aspirasi beliau dalam membawa Pemuda ke era baharu, Asyraf Wajdi berkata, beliau mahu memulakan langkah dengan membawa pergerakan itu sebagai satu kumpulan sahaja, dan menghalang kewujudan mana mana kelompok atau ‘faction’.
“Saya pergi (bertanding) secara individu. Siapa juga naib dipilih perwakilan, dia ialah naib saya. Hari ini saudara Shahril Hamdan, yang telah pun terpilih sebagai Naib Ketua Pemuda, maka hari ini dia merupakan Ketua Pemuda Pilihan saya.
“Begitu juga dengan barisan Exco Pemuda. Kita tidak mahu lagi budaya kelompok, baik kelompok dalam organisasi, pasukan, team A, atau B, atau C,” katanya lagi.
Asyraf Wajdi juga memuji pemilihan Pemuda kali ini apabila lebih 200 calon menawarkan diri untuk bertanding mengisi salah satu daripada 20 tempat dalam Exco, sedangkan parti sudah tiada pangkat atau kuasa dalam Kerajaan Persekutuan untuk ditawarkan lagi.
Beliau berkata, Pemuda di bawah kepimpinan beliau akan lebih mengutamakan pengkaderan bakat-bakat baharu, menghayati perjuangan dan aspirasi UMNO, serta memastikan mereka semua dipupuk dengan pembudayaan ilmu.
Katanya, ini supaya UMNO dapat menjadi jurubicara rakyat yang mempunyai kredibiliti, seterusnya menjadi parti pembangkang yang berilmu kepada kerajaan masa kini.
“Hari ini rakyat perlukan pembangkang yang jadi pengimbang kepada kerajaan masa kini kerana mereka bukan mailakat, (mereka) manusia biasa, prone to make mistakes (mungkin melakukan kesilapan).
"Dan pada masa yang sama kita menyediakan alternatif untuk memberi suara hati atau suara rakyat dalam usaha mengimbang dan menyemak pentadbiran,” ujarnya lagi.
#Asyraf Wajdi Dusuki #Barisan Nasional #Jamal Md Yunos #Khairul Azwan Harun #Khairy Jamaluddin #MCA #MIC #pembangkang #Pemilihan UMNO #Pemuda UMNO #pilihan raya umum