'Kurangkan bercakap dan berpolitik, lebihkan bekerja' - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 15, 2020 10:11 MYT
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha perlu ditumpukan untuk menstabilkan kerajaan, menyelesaikan masalah rakyat, meningkatkan ekonomi dan bersama-sama melawan pandemik COVID-19. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Para pemimpin diminta agar kurangkan bercakap dan lebihkan bekerja untuk membantu kerajaan demi kesejahteraan negara dan rakyat, kerana tindakan untuk terus berpolitik ketika ini dibimbangi tidak membantu usaha tersebut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha perlu ditumpukan untuk menstabilkan kerajaan, menyelesaikan masalah rakyat, meningkatkan ekonomi dan bersama-sama melawan pandemik COVID-19.
"Saya fikir saya sependapat dengan begitu ramai pemimpin termasuk pemimpin-pemimpin dalam Muafakat Nasional (MN) yang merasakan ini bukan masanya untuk kita berpecah belah, ini masanya untuk kita bersatu memastikan kestabilan kerajaan, memastikan masalah-masalah kita melawan pendamik COVID-19 ini dapat tercapai, memastikan ekonomi kita dapat dibangunkan semula.
"Ini adalah perkara utama dan asas bagi kita sekarang ni," kata beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahmad Faizal ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Khamis.
BACA: UMNO pertimbang tarik diri daripada menyokong PN
BACA: PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat lebih tersusun - Annuar Musa
Beliau mengulas mengenai solusi menang-menang antara MN dan Perikatan Nasional (PN) demi kesejahteraan rakyat.
Tambah Ahmad Faizal, walaupun ada sebilangan kecil pemimpin yang mungkin mempunyai pandangan berbeza, namun rakyat secara umumnya tidak mahu berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin kerajaan sekarang ni.
Dalam pada itu, beliau secara peribadi turut berpendapat bahawa UMNO tidak akan menarik diri daripada memberi sokongan kepada PN kerana ia akan merugikan mereka dan golongan yang diwakili.
#pemimpin #Menteri Besar Perak #Ahmad Faizal Azumu #COVID-19 #Muafakat Nasional #Perikatan Nasional #MN #PN #UMNO #Bersatu