POLITIK

Lagu parti 'nadi' kempen PRN Sabah ke-17

Bernama 14/11/2025 | 04:23 MYT
Antara yang telah melancarkan lagu rasmi sempena PRN Sabah ke-17 ialah gabungan PH dengan lagu bertajuk Sabah Pilih MADANI Bah! ciptaan Panji Yahya dan lirik oleh Yusof Ebram. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Rancak, segar dan menarik perhatian. Itu gambaran tepat bagi lagu-lagu kempen yang diperkenalkan parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang bukan sekadar muzik hiburan tetapi juga medium menyampaikan mesej perjuangan masing-masing.


Ringkasan AI
  • Lagu-lagu kempen parti-parti Sabah PRN ke-17 menonjolkan gabungan irama moden dan elemen tradisi, menjadi medium penting untuk menyampaikan mesej perjuangan serta menarik hati pengundi.
  • Lagu Sabah Pilih MADANI Bah! ciptaan PH dan Kita Jaga Sabah ciptaan GRS, menyatukan moden dan tradisi dengan vokal artis popular, menunjukkan semangat perpaduan dan cinta tanah air dalam kempen.
  • Lagu Selamatkan Sabah dari Warisan menampilkan mesej tegas, menyeru untuk menjaga Sabah sebelum terlambat, sementara SPR menetapkan pengundian pada 29 Nov dengan 1,784,843 pengundi layak mengundi.


Dengan gabungan irama moden dan elemen tradisi, lagu-lagu ini menjadi pendekatan baharu untuk menambat hati pengundi serta menzahirkan komitmen parti untuk membangunkan Negeri Di Bawah Bayu.

Antara yang telah melancarkan lagu rasmi sempena PRN Sabah ke-17 ialah gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan lagu bertajuk Sabah Pilih MADANI Bah! ciptaan Panji Yahya dan lirik oleh Yusof Ebram.

Lagu itu dibuka dengan bait bahasa Dusun, diiringi nyanyian mendayu seorang wanita yang menyampaikan mesej kasih sayang terhadap Sabah serta semangat kebersamaan.

Korus lagu pula berubah sepenuhnya, dibawa dengan rentak rap moden yang bertenaga dan santai, menyampaikan mesej dengan penuh semangat anak muda.

Aiso no kito tanak Sabah (Kitalah anak jati Sabah)
Tokou do rinding, tokou do moginakan (Kita yang menjaga dan membangunkannya)
Pilanduk tokou oh tanah tumpah (Tanah tumpah darah ini milik kita)
MADANI jadi harapan.

Sabah Pilih MADANI bah,
Untuk masa depan kita semua,
Bersih, adil, tiada tipu daya,
Boleh bah kalau kau sama-sama.

Gabungan elemen tradisi dan moden menjadikan lagu berkenaan lebih daripada sekadar bahan kempen, ia simbolik kepada usaha PH mendekati rakyat secara segar selaras dengan mesej reformasi dan nilai MADANI yang diperjuangkan.

Tidak ketinggalan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut menampilkan semangat perpaduan dan kenegerian kental menerusi lagu Kita Jaga Sabah ciptaan Anas Amdan, menggabungkan rentak moden dan tradisional dengan harmonis.

Lagu itu menampilkan vokal artis popular Stacy dan beberapa artis tempatan ternama termasuk Elica Paujin, Dabra Sia, Feroq Jayfiena, Miba, Anip dan NvUeL, menonjolkan penyertaan pelbagai generasi dalam menyemarakkan semangat cinta akan Sabah.

Antara liriknya yang membangkitkan rasa cinta akan tanah air:

Kita jaga Sabah,
Dari laut biru hingga ke puncak Kinabalu,
Kita jaga Sabah,
Kita bangkit ayuh bangkit.

Hiti oku poingkakad (di sinilah aku berpijak)
Id lamin tokou (di bumi kita sendiri)
Lamin doid noponu' do sinding olundu (bumi yang dipenuhi nyanyian kehidupan)
Mantad minamang (tempat asal usul kita semua)".

Melalui liriknya, GRS menekankan bahawa pembangunan Sabah perlu berakar pada kekuatan dan perpaduan rakyat negeri itu sendiri, selain selitan puisi dalam bahasa Dusun turut memberi sentuhan budaya serta menambah tarikan lagu berkenaan.

Di gelanggang lain, Parti Warisan (Warisan) memperkenalkan lagu Selamatkan Sabah, hasil ciptaan dan lirik DAJ, yang menampilkan rentak rancak serta mesej tegas dan antara liriknya ialah:

Sabah milik kita dan anak cucu yang akan datang,
Jangan tunduk, jangan takut,
Selamatkan Sabah sebelum semuanya terlambat hilang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 membabitkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan. Hari penamaan calon akan berlangsung esok, manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

Setakat 8 malam tadi, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP tujuh, yang kesemuanya bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung pula bertanding di 45 DUN.

GRS juga telah mengumumkan akan bertanding di 55 DUN terdiri daripada calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Warisan, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 DUN, Perikatan Nasional (41 DUN) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 DUN.

Sementara itu, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 calon), Parti Maju Sabah (SAPP)(enam DUN) dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama Black Wave akan bertanding pada PRN ke-17.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA
#PRN Sabah 2025 #lagu parti #perpaduan #Pakatan Harapan