Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menegur Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan barisan kepimpinan yang dilihat sengaja memainkan api perkauman semata-mata mahu meraih sokongan rakyat.

Presiden Harapan Rakyat, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, beliau kesal apabila barisan kepimpinan Warisan jelas mengancam perpaduan kaum hingga menghina keturunan pemimpin-pemimpin parti politik lain sekali gus mengajak para pengikut mereka menyemarakkan lagi api perkauman.

Malah beliau mengingatkan pemimpin tidak sepatutnya menggunakan isu perkauman dan agama sebagai modal kempen hingga mengancam perpaduan kaum di Sabah.

"Secara terbuka dan tanpa prejudis, seikhlasnya ingin diingatkan bahawa hubungan antara kaum adalah satu isu yang cukup sensitif.

BACA: Laporan polis dibuat ke atas Parti Warisan

"Isu ini (kaum dan agama) tidak sepatutnya digunakan oleh mana-mana pihak sama ada parti ataupun pemimpin parti politik, sebagai modal untuk berkempen," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau membuat kenyataan berikutan kenyataan beberapa barisan pemimpin politik di Sabah yang mengeluarkan kenyataan berbaur rasis atau menghina keturunan pemimpin-pemimpin parti politik lain untuk menarik sokongan rakyat.

Dalam pada itu, Lajim yang juga Ketua Pembangkang Sabah percaya bahawa orang Sabah yang berbilang kaum layak dilantik sebagai Ketua Menteri dengan syarat pemimpin itu anak jati negeri ini.

“Sesetengah pemimpin politik ini amat saya kenali kerana pernah bertanding dalam parti dan juga pilihan raya. Saya amat yakin kenyataan rasis atau menghina keturunan bukanlah kaedah sesuai di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Lajim yang juga Ketua Pembangkang Sabah berkata, tindakan melabel antara satu sama lain dengan pelbagai ‘gelaran’ serta mempersenda keturunan masing-masing bukan satu perkembangan yang sihat dalam politik di negara ini.