ALOR SETAR: Lantikan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah akan dibuat secepat mungkin dan diselesaikan dalam minggu ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata nama-nama mereka akan ditentukan oleh kepimpinan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan bermesyuarat petang ini, sebelum diteliti beliau.

"Kita akan adakan mesyuarat petang ini dan saya akan tengok nama-nama yang dicadang itu sebelum memilih mereka yang mampu untuk melaksana dan menterjemahkan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

"Memang susah untuk buat pemilihan kerana semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memiliki kelayakan yang baik. Jumlah Exco masih sama iaitu 11 orang termasuk saya dan portfolio mungkin ada penyesuaian mengikut keperluan semasa," katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.

Muhammad Sanusi dilantik semula ke jawatan itu selepas PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lepas.

Sementara itu ditanya mengenai hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat, Muhammad Sanusi berkata ia adalah 'new beginning' dan beliau sedia untuk bekerjasama demi rakyat Kedah.

-- BERNAMA