KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Kerajaan Madani agar menamatkan amalan lapuk membiayai operasi parti dan memberi ganjaran kepada pimpinan parti melalui jawatan lumayan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, kerajaan seharusnya membentuk sistem pendanaan awam parti politik yang demokratik, adil dan berakauntabiliti berdasarkan keperluan parti kerajaan serta pembangkang.

"Pendirian kami bahawa wakil rakyat tidak boleh dilantik ke dalam GLC kerana mereka dilantik untuk menjadi penggubal undang-undang dan berkhidmat di kawasan mereka.

"Memandangkan mustahak untuk memastikan lembaga berkanun menjalankan dasar kerajaan, adalah munasabah setiap kerajaan melantik mereka yang diyakini dan selari dengan hala tuju dasar kerajaan, termasuk ahli politik namun ahli politik tersebut perlu mempunyai kelayakan dan kompetensi yang bersesuaian dengan badan berkanun itu," katanya.

Kenyataan tersebut menyusul selepas pelantikan lima pengerusi badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada Rabu.

Mereka ialah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, kejayaan dan kegagalan lembaga berkanun adalah tanggungjawab individu yang dilantik dan kerajaan yang melantik mereka.

Disebabkan potensi pertembungan kepentingan, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata pelantikan wakil rakyat perlu diminimumkan, selain mereka yang dilantik ke badan berkanun tertakluk kepada pemantauan dan semakan oleh Jawatankuasa Parlimen, seperti menteri dan timbalan menteri dipantau oleh Ahli Parlimen lain.

"Maka, Jawatankuasa Parlimen yang memantau kementerian, di mana badan berkanun tertakluk di bawahnya perlu diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang.

"Justeru, jawatankuasa itu menambah pemantauan dan semakan terhadap lembaga berkanun.

"Mereka yang baru dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke dalam Lembaga berkanun di bawah kementerian itu perlu melaksanakan tugas-tugas mereka kepada rakyat dan bertanggungjawab kepada jawatankuasa pemantau," tambahnya.

Jawatankuasa itu juga menyifatkan, adalah salah guna perjawatan awam dan amanah atau hampir kepada korupsi, sekiranya kerajaan hanya melantik mana-mana penggerak parti seperti bekas menteri atau pemimpin tertinggi ke badan berkanun, hanya untuk mendanai kerja politik mereka.

"Kami maklum bahawa parti perlu membiayai penggerak parti sepenuh masa namun gaji mereka perlu dibiayai oleh parti atau entiti yang berkaitan mereka, dan bukannya dengan wang rakyat.

"Malah, parti politik sepatutnya layak mendapat subsidi tahunan daripada pembayar cukai berdasarkan jumlah undi mereka dalam pilihan raya di Persekutuan dan negeri," ujar jawatankuasa itu.