KUCHING: Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Larry Sng kini menjawat jawatan Timbalan Presiden baru Parti Bangsa Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak.

Bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia Engga Uncat berkata, beliau sendiri dan seluruh ahli exco SWP yang lain telah mencapai kata sepakat untuk berundur dan memberi ruang kepada generasi muda untuk mengambil alih pengurusan parti dalam mesyuarat Agong Tahunan yang diadakan pada 14 November lepas.

Tambah Engga, dengan  pemilihan semula Larry Sng sebagai ahli exco Parti Bangsa Malaysia, Parti Pekerja Sarawak telah ditukar menjadi Parti Bangsa Malaysia dan parti baru itu telah pun diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 27 Oktober.

“Ahli Exco untuk Parti Bangsa Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat. Kini parti tersebut telah bertukar menjadi parti Nasional dan keahlian terbuka seluruh Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau itu meletak jawatan sebagai Ketua Parti Keadilan (PKR) Sarawak pada 28 Febuari dan  beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Memetik Laporan The Malay Mail, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Chong turut mengundurkan diri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Febuari selepas Sng meletak jawatan sebelum menubuhkan parti baharu yang berorientasikan parti berbilang kaum.

Choong juga mendedahkan Parti Bangsa Malaysia akan diterajui oleh seorang presiden Melayu namun mereka tidak akan menjadi Ahli parlimen.