KUALA LUMPUR: Lebih daripada sepuluh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berminat untuk menyertai Rumah Bangsa yang diterajui oleh UMNO.
Namun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan hasrat tersebut terhalang kerana terikat dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti.
“Kebanyakan mereka yang berstatus Ahli Parlimen dan ADUN juga amat-amat berminat untuk menyertai kembali Rumah Bangsa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Konsultasi Awam bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 di sini, hari ini.
Menurut Asyraf, perkara tersebut disahkan melalui beberapa siri perjumpaan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Namun Asyraf enggan mendedahkan nama Ahli Parlimen dan ADUN terlibat sambil menyatakan ahli-ahli biasa daripada parti pembangkang juga telah menyertai Rumah Bangsa.
“Para penyokong (pembangkang) masuk secara bergerombolan,” katanya.
Asyraf turut memaklumkan bahawa jumlah penyertaan telah meningkat berbanding 6,252 penyertaan yang diumumkan pada 17 April lalu.
Pada 16 Januari lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang berfungsi sebagai platform untuk menerima kembali mana-mana pihak yang ingin kembali bersama UMNO.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan membuka ruang yang lebih luas bagi memperkukuh hubungan dan perpaduan dalam kalangan ahli parti, sekali gus memastikan UMNO terus relevan sebagai wadah perjuangan bangsa, agama dan negara.