KUALA LUMPUR: Perpecahan dalaman UMNO dilihat sebagai antara punca kemelut politik yang melanda Melaka ketika ini.

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Mohd Tawfik Yaakub berpandangan beberapa formula perlu dilaksanakan bagi memastikan kemelut sebegitu tidak berulang.

"Bukan sahaja dua, lebih daripada dua ekor 'singa' yang ada di negeri Melaka. Ini yang perlu diselesaikan dengan kadar segera.

"Kita tidak mahu perpecahan dalaman UMNO Melaka merebak ke negeri-negeri lain dan akhirnya menyebabkan sebuah kerajaan yang dikatakan stabil akhirnya terpaksa tumbang kerana penarikan diri daripada ADUN UMNO itu sendiri daripada kerajaan Melaka," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri idris Haron yang menyifatkan Melaka kini mempunyai 'dua singa di atas satu gunung'. 

BACA: Kerajaan Melaka tumbang: 'Tidak boleh ada dua singa di atas satu gunung' - Idris Haron

Dr Mohammad Tawfik ulas gelora situasi politik Melaka

Jelas Mohd Tawfik, apa yang berlaku di Melaka ketika ini adalah pengajaran kepada UMNO untuk menyegerakan pemilihan parti.

"Saya melihat apa yang berlaku di Melaka hari ini adalah satu pengajaran besar kepada UMNO untuk segerakan pemilihan parti.

"Kita perlu lihat apakah formula yang perlu disegerakan sama ada pemilihan UMNO, pilihan raya negeri atau pilihan raya umum," katanya.

4 ADUN Melaka tarik sokongan kepada Ketua Menteri


Jelasnya, tiba masa untuk mengembalikan mandat kepada rakyat lantaran negara hampir mencapai 90 peratus vaksinasi COVID-19.

Ujarnya, rakyat tidak seharusnya dibiarkan bingung dengan perubahan dan ketidakstabilan politik berpanjangan yang akhirnya menyusahkan kehidupan rakyat.

Teka-teki ‘gelora’ politik Melaka  terjawab hari ini apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Suleiman Md Ali.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).