Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini bertanding atas tiket calon langsung Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak lalu diterima menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Mereka adalah Adun Serembu, Miro Simuh, Adun Bukit Semuja, John Ilus, Adun Bekenu, Rosey Yunus, Adun Mulu, Datuk Gerawat Gala dan Adun Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri Sarawak selaku Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kerusi milik parti berkenaan bertambah kepada 45 kerusi, sekaligus menyaksikan PBB mempunyai lebih daripada separuh jumlah keseluruhan 82 kerusi di DUN Sarawak.

Mengulas mengenai permohonan bekas presiden parti SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom untuk menyertai PBB, ujar Adenan, ia mungkin mengambil masa.

"Kami akan menguruskan butirannya kemudian. Mengikut prosedur, mereka akan memohon untuk menyertai mana-mana ranting (bahagian) terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Mengenai permohonan William Mawan, ia akan mengambil sedikit masa.

"Selain itu, William Mawan juga masih perlu membuat keputusan," katanya pada satu sidang media khas mengenai kemasukan kelima-lima adun berkenaan.

Mengulas tentang kedudukan PBB yang kini memiliki lebih daripada setengah jumlah keseluruhan kerusi, Adenan memberi jaminan PBB akan tetap berkongsi kuasa dengan komponen parti BN yang lain.

"Walaupun kami kini merupakan majoriti, ia tidak bermakna kami tidak bersedia untuk berkongsi kuasa dengan komponen parti yang lain. Kabinet akan kekal seperti sedia ada," katanya.

Sementara itu, tiga lagi calon langsung BN iaitu Adun Mambong, Datuk Jerip Susil; Adun Opar, Ranum Mina dan Adun Engkelili, Dr Johninal Rayong Ngipa memilih untuk menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP).