Lumrah pembangkang sentiasa cetus isu - Awang Tengah

Bernama
November 14, 2021 09:09 MYT
Awang Tengah berkata semasa darurat dikuatkuasakan di Sarawak, pembangkang menuduh kerajaan negeri cuba berselindung di sebalik kuasa darurat. - Gambar fail
LAWAS: Sudah lumrah pembangkang sentiasa menjadikan setiap perkara sebagai isu termasuk perintah darurat yang dikenakan ke atas Sarawak sebelum ini, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata semasa darurat dikuatkuasakan di negeri berkenaan, pembangkang menuduh kerajaan negeri cuba berselindung di sebalik kuasa darurat.
"Kita ni sebenarnya dalam masa kecederaan, pembangkang kata apabila darurat ini dipanjangkan, kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) cuba hendak berselindung (enggan adakan PRN) di sebalik darurat...apabila ditamatkan lain pula ceritanya.
"Itulah pembangkang tiada pendirian tetap, macam-macamlah... semua perkara dia (pembangkang) hendak jadikan isu," katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat bersama jentera PBB bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari, di sini semalam.
Tegas Awang Tengah, setiap keputusan untuk menguatkuasakan dan menamatkan darurat di Sarawak serta pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) kelak bukan dibuat sembarangan sebaliknya penuh berhati-hati dan berdasarkan nasihat dengan mengambil kira semua aspek kesihatan, keselamatan dan kehidupan rakyat di samping mengimbangi proses demokrasi.
Jelasnya, GPS juga menunggu dan menerima segala keputusan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan PRN Sarawak dengan mengambil kira perkembangan semasa COVID-19, termasuk kemungkinan pengenalan SOP baharu berdasarkan pengendalian PRN Melaka.
Pada Jumaat lepas, sebuah media melaporkan PKR Sarawak menghantar rayuan kepada SPR untuk menangguhkan PRN negeri itu ke tahun hadapan, susulan peningkatan kes positif baharu dan kematian akibat penularan COVID-19 dalam negara.
Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju jika PRN Sarawak ke-12 ditangguhkan susulan perkembangan penularan COVID-19 di negeri itu.
SPR sebelum ini memaklumkan satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Sarawak akan diadakan pada 24 Nov ini di Kuching susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak pada 3 Nov lepas.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata jentera pilihan raya semua parti komponen GPS kini sudah bersedia beradaptasi dengan segala SOP SPR termasuk sekiranya terdapat SOP baharu yang bakal diperkenalkan.
Jentera parti sentiasa diingatkan untuk mematuhi peraturan ditetapkan dan selain bersedia dengan segala kekangan untuk berkempen pada PRN itu, katanya.
-- BERNAMA
#Awang Tengah Ali Hassan #pembangkang #Parti Pesaka Bumiputera Bersatu #PBB #Sarawak #PRN Sarawak