KOTA KINABALU: Empat daripada 21 perkara membabitkan Perjanjian Malaysia (MA63) yang dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) penggal lalu, belum dimuktamadkan, menurut Parti Warisan (Warisan).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya berharap kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan perkara berkenaan.

"Empat perkara lain yang belum dimuktamadkan adalah isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750]; dan hak negeri ke atas pelantar benua.

"Warisan yakin penduduk Sabah akan menghargai dan amat berterima kasih sekiranya kesemua 21 perkara ini dapat dilaksanakan," ujar Shafie dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Dalam pada itu, Shafie turut berkata Warisan menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri itu yang diumumkan pada Rabu oleh Anwar.

Beliau berharap agar pengumuman itu akan turut disusuli dengan pelaksanaan 21 perkara terbabit.

"Setakat ini, 17 daripada 21 perkara telah mendapat persetujuan bersama antara kerajaan persekutuan PH lalu dan kedua-dua kerajaan negeri.

"Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat dialu-alukan dan Warisan berterima kasih atas keprihatinan beliau terhadap aspirasi, keinginan dan impian penduduk Sabah selama ini.

"Semoga berita baik ini disusuli dengan pelaksanaan 21 perkara yang dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) ketika kerajaan PH lalu," kata Shafie.