KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mempersoalkan sejauh mana peranan dan pembabitan Datuk Seri Rafizi Ramli semasa menjadi Menteri Ekonomi mengenai kewujudan kegiatan mafia korporat sehingga beliau terpaksa mendiamkan diri dan tidak langsung bersuara mengenainya.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, jika benar Rafizi mengetahui tentang kewujudan mafia korporat ketika beliau menjadi Menteri Ekonomi, rakyat berhak bertanya kenapa perkara itu tidak dibangkitkan secara terbuka ketika beliau masih berada dalam kerajaan.
Tegasnya, Rafizi sendiri bukan orang luar ketika itu, malah beliau adalah sebahagian daripada kerajaan dan mempunyai kedudukan serta akses untuk membawa perkara itu kepada perhatian pihak berkuasa.
"Jadi, persoalan yang perlu dijawab ialah, bila Rafizi mula mengetahui perkara ini? Apakah tindakan yang telah diambil dan adakah beliau pernah membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau agensi penguatkuasaan?
"Saya tidak mahu membuat tuduhan bahawa Rafizi terlibat atau bersubahat. Itu perkara serius dan mesti berasaskan bukti. Tetapi beliau juga tidak boleh mengelak daripada menjelaskan peranan dan pengetahuannya sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu jenayah korporat dengan mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.
Anwar berkata, tindakan membetulkan sebarang salah laku perlu dilakukan ketika seseorang masih mempunyai kuasa, bukannya hanya bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, apabila perkara itu mula dibangkitkan selepas Rafizi tidak lagi memegang jawatan menteri dan selepas pemilihan parti, sudah tentu rakyat mahu tahu kenapa baru sekarang isu berkenaan mendapat perhatian beliau.
Tegasnya, Rafizi mempunyai podcast dan pelbagai saluran untuk menjelaskan perkara itu dan seharusnya menggunakan ruang tersebut untuk memberikan fakta, bukan sekadar membina naratif politik.
"Kalau Rafizi benar-benar mahu mempertahankan integriti dan melawan salah laku korporat, saya fikir penjelasan yang paling penting sekarang ialah apa yang beliau tahu ketika menjadi menteri, apa yang telah dilakukan dan mengapa perkara ini tidak dibangkitkan lebih awal.
"Akhirnya, kita mahu kebenaran. Kalau ada salah laku, siasat dan ambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti terlibat. Jangan lindungi sesiapa, tetapi jangan juga membuat tuduhan tanpa bukti," katanya.
Dzul Hilmi menjelaskan, jika benar dan terbukti apa dakwaan yang ditimbulkan oleh Rafizi, maka beliau juga antara individu yang perlu bertanggungjawab kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini.
Ujarnya, Rafizi sudah maklum tentang perkara berkenaan seperti mana yang dinyatakan, namun diam membisu demi mengekalkan jawatan dan kedudukan pada ketika itu.