Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan kebenaran merayu oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan dua yang lain menamatkan krisis perundangan membabitkan parti itu sejak Februari lalu.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu jelas dalam menyelesaikan keraguan di kalangan anggota parti secara muktamad.

"Proses perdamaian dan penyatuan oleh MIC kini boleh diteruskan tanpa sebarang bentuk gangguan dan dengan penuh keyakinan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Palanivel dan dua yang lain bagi kebenaran merayu terhadap arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula selepas memutuskan perkara itu bersifat akademik.

"Pertarungan undang-undang ini menyebabkan MIC berpecah dan menimbulkan suasana ketidakpastian dalam kalangan anggota MIC," kata Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Beliau berkata, MIC perlu bergerak ke hadapan dengan kehendak dan tenaga yang lebih besar dan melupakan perkara yang lepas kerana masyarakat sedang menunggu dengan harapan dan penuh kesungguhan.

Pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan Palanivel, bekas naib presiden MIC S.Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan serta bekas Setiausaha Agung MIC A. Prakash Rao.

Keempat-empat mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan arahan RoS.

Pada 5 Disember tahun lepas, RoS mengeluarkan notis rasmi kepada MIC bahawa pemilihannya bagi kerusi naib presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta pemilihan beberapa bahagian adalah batal dan tidak sah berikutan wujud kepincangan tertentu dan mengarahkan parti mengadakan pemilihan baharu bagi kerusi berkenaan dalam tempoh 90 hari.