Majlis Presiden PN platform terbaik bincang isu penting - PBB

Astro Awani
Disember 18, 2020 08:24 MYT
Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menganggap penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional penting dalam menyatukan pandangan dan pendapat setiap ketua pemimpin parti dalam gabungan itu. - Foto BERNAMA
KUCHING: Penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) disambut baik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB.
Naib Presidennya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan majlis ini bukan hanya membantu melancarkan pentadbiran kerajaan persekutuan, namun paling utama ia membuka penglibatan setiap ketua parti pemerintah untuk turut serta dalam membuat keputusan secara bersemuka.
“Saya rasa ia langkah yang baik kerana tiada piagam yang perlu ditandatangani.
“Majlis presiden ini akan membincangkan isu penting yang beri kesan kepada negara dan bagaimana mereka perlu bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Abdul Karim berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah Cemerlang World Craft Council Asia Pacific Region di Tebingan Kuching , pada Jumaat.
Tambah Abdul Karim kerajaan sedia ada terdiri daripada gabungan yang longgar namun kelebihannya tiada parti yang dominan sehingga membuka ruang kepada pengkhianatan.
"Gabungan longgar itu baik. Apa yang penting ialah kita masih boleh menjalinkan kerjasama yang baik dan tidak mengkhianati antara satu sama lain," katanya.
Abdul Karim sebelum ini tidak bersetuju dengan cadangan agar setiap parti yang terlibat dalam penubuhan kerajaan persekutuan menandatangani perjanjian bagi pembentukan gagasan besar politik.
BACA: Cadangan tubuh gagasan besar, pemimpin GPS kata tak perlu
BACA: PN tubuhkan Majlis Presiden Perikatan Nasional
#Majlis Presiden #Perikatan Nasional #PN #PBB #Abdul Karim Rahman Hamzah #GPS