Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak hanya semberono meletakkan calon wanita semata-mata untuk memenuhi kuota 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan calon perlu mempunyai merit cemerlang serta memenuhi kriteria yang ditetapkan parti.

"Dalam perlembagaan parti pun ada tulis sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita.

"Cuma cabaran kepada saya sendiri adalah saya tidak mampu lagi untuk mendapatkan wanita-wanita yang penuh kelayakan untuk mengisikan 30 peratus ini.

"Namun, Keadilan dan Pakatan Harapan amnya, pencalonan wanita bertambah dan semakin bertambah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Mengakui terpaksa melepaskan beberapa kerusi yang disandang calon wanita kepada komponen Pakatan Harapan, Zuraida memohon supaya parti yang mendapat kerusi itu untuk meletakkan calon wanita berkaliber juga.

"Apabila rundingan kerusi dibuat, ada kerusi-kerusi yang PKR terpaksa lepaskan. Apa yang buat saya susah hati kerana kerusi-kerusi yang terpaksa diberi kepada kerusi komponen adalah kerusi-kerusi wanita.

"Saya minta supaya sama ada Bersatu, DAP atau Amanah menggantikan dengan calon wanita juga dan tidak tertumpu pada lelaki.

"Kalau tidak kuota kita (wanita) akan menurun. Saya akan terus memastikan calon-calon wanita daripada PKR akan dapat terus bertanding kerana saya dapat meningkatkan sehingga 25 peratus calon-calon wanita," katanya.