KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pula memfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berhubung isu memfitnah beliau membawa fitrah takfiri.

Selain dua ADUN pembangkang itu, Mohd Nassuruddin turut memfailkan saman terhadap Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkaitan isu tersebut.

"Semalam (Isnin) surat saman telah dihantar kepada peguam ADUN Galas (Mohd Syahbuddin).

"Selepas ini giliran ADUN Kota Lama (Dr Hafidzah) dan Ahmad Jazlan," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Mengangkat Sumpah ADUN Kelantan di Kota Darul Naim di sini pada Selasa.

Mohd Nassuruddin memberitahu, tindakan tersebut diambil kerana beliau tidak menyebut perkataan yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut.

Ujarnya, sejak berusia 21 tahun hingga sekarang 58 tahun beliau mengajar agama di masjid dan pondok, tidak pernah sekalipun mengkafirkan sesiapa.

"Kerana saya tahu akibat mengkafirkan orang, kalau orang itu tidak kafir, kafir itu kembali kepada orang yang menuduh.

"Jadi bila mereka menyebut saya membawa fitrah takfiri ertinya mereka telah menuduh saya mengkafirkan orang..saya saman mereka," katanya.

Sinar Harian pada 20 Ogos lalu melaporkan Mohd Nassuruddin diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wakil rakyat DUN Galas, Kota Lama serta pengundi Barisan Nasonal (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh tujuh hari.

Permohonan maaf itu susulan Mohd Nassuruddin melabelkan kedua-dua wakil rakyat itu melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Medan Ilmu. - Sinar Harian