POLITICS
MB Terengganu dakwa dilabel 'TCO', telefon dipintas

Ahmad Samsuri mendakwa telah dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa - Foto/FB Dr Ahmad Samsuri
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa telah dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO), menyebabkan beliau 'ditahan' setiap kali keluar-masuk sempadan sejak suku ketiga tahun 2024.
- Status TCO membolehkan pemantauan menyeluruh terhadap pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang, yang didakwa sering digunakan sebagai alat politik.
- Ahmad Samsuri menyeru kepada budaya politik yang lebih matang dan menentang penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik yang merosakkan kebebasan peribadi.
Katanya, kawalan tersebut seolah-olah beliau seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri.
"Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Ia bukan sekadar label, tetapi saya "ditahan” dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
"Dalam sistem keselamatan negara, “TCO” merujuk kepada “Travel Control Office/ Order” oleh pihak berkuasa.
"Ia satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah," katanya.
Ahmad Samsuri menambah, status tersebut didakwa membolehkan segala pergerakan, komunikasi, serta interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan.
Perkara itu, katanya dilaksanakan atas nama “keselamatan negara” atau “kestabilan politik”.
Bagaimanapun, dakwa beliau realitinya ia sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan, sebagai usaha mengawal serta menekan suara tertentu.
"Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan – semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak 'political master' atau operator utamanya.
"Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik.
"Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100 peratus," dakwanya.
Dakwa beliau lagi, tindakan tersebut dipercayai dilakukan bagi meredakan paranoia segelintir pihak, yang tanpa ada keperluan untuk merasakan tidak stabil dan terancam.
Selain dirinya, Ahmad Samsuri mendakwa seorang lagi tokoh utama pembangkang juga berdepan dengan label tier TCO itu, membuatkan beliau dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri.
Beliau menambah, penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik adalah satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil.
"Jika ini dibenarkan berleluasa, saya tidak hairan jika instrumen yang sama juga sedang digunakan terhadap orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan bebas, dan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah.
"Mungkin sedang digunakan pada masa ini. Sudah tiba masanya kita membina budaya politik yang lebih matang, terbuka, dan sejahtera – di mana perbezaan pandangan bukan satu ancaman, tetapi asas kepada demokrasi yang sihat dan aktif," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami