KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung MCA Ke-70 hari ini sebulat suara meluluskan lima resolusi meliputi hal ehwal parti, politik, kerajaan, ekonomi dan pendidikan.

Resolusi itu diluluskan oleh 1,458 perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung itu selepas dibahaskan oleh 16 perwakilan daripada 12 negeri serta wakil Wanita MCA dan Pemuda MCA.

Satu daripada resolusi tersebut ialah menyokong Jawatankuasa Pusat parti untuk melaksanakan perubahan dalaman parti, termasuk inovasi dalam penganjuran, promosi, latihan dan strategi bagi menangani cabaran dalam apa jua situasi politik.

Mengenai ekonomi, MCA menyeru kerajaan untuk memberi perkhidmatan pengecualian visa enam bulan kepada pelancong dari China, India dan negara strategik lain bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia, merangsang kapasiti penggunaan pasaran dan menggalakkan pembangunan sektor berkaitan pelancongan.

Parti itu turut menggesa kerajaan agar menggiatkan usaha dalam menyediakan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan meningkatkan produktiviti mereka, bagi memastikan PKS mempunyai kelebihan saingan dalam transformasi digital dan persaingan serantau.

Dalam hal politik, MCA meminta Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan konsep Malaysia MADANI dengan penyelesaian pragmatik dan mengamalkan dasar yang mencerminkan kepelbagaian, kesederhanaan dan kemajuan.

Berkaitan pendidikan, parti itu mahu kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) menumpukan pada pengukuhan matapelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan kemahiran hidup dalam kalangan pelajar serta mengelak memasukkan terlalu banyak elemen keagamaan dalam kurikulum itu.

Selaras pelaksanaan Undi18, MCA menghendaki KPM supaya mengukuhkan pendidikan sivik dalam kurikulum sekolah menengah bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan pelajar mengenai sistem demokrasi, institusi awam dan pentadbiran negara.

MCA turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak berkuasa universiti supaya bekerjasama erat dengan industri bagi membangunkan kursus yang memenuhi permintaan pasaran dan memastikan daya saing dan kebolehpasaran pelajar selepas tamat pengajian.

-- BERNAMA