MCA membisu dalam skandal kerajaan BN - Gobind Singh

Bernama
Ogos 30, 2018 23:41 MYT
Gobind berbual bersama Wong pada Ceramah Umum Pakatan Harapan bagi PRK DUN Balakong di Taman Putra Budiman malam tadi. --fotoBERNAMA
MCA perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa ia tidak mempertahankan hak rakyat walaupun pelbagai penyalahgunaan kuasa dan penyelewangan wang dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang dianggotainya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata MCA bukan sahaja membisu dalam hal seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), malah mencemuh Pakatan Harapan (PH) bermain politik apabila membongkarkan isu penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara tersebut.
"Dia bertahun-tahun di situ, dia tahu apa yang berlaku. Tapi masih menyeru supaya rakyat menyokongnya dan mempercayainya untuk menjaga rakyat.
"Ini satu perkara yang serius. Bolehkah kita mempercayai mereka?" katanya pada ceramah PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, di Serdang, dekat sini, malam tadi.
Gobind Singh turut meminta kira-kira 300 hadirin di ceramah tersebut supaya melontarkan persoalan itu kepada MCA dan calonnya, Tan Chee Teong.
Beliau berkata tindakan MCA untuk bertanding atas benderanya sendiri kali ini juga menunjukkan parti itu kini malu untuk dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Sampai hari ini dia tak berani bawa bendera Dacing (lambang BN). Kenapa takut, kenapa sekarang mahu pakai bendera sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Gobind Singh juga menyeru pengundi Balakong supaya lihat ke depan dan terus mengundi PH pada PKR DUN Balakong 8 Sept ini.
Rakyat Malaysia, khususnya, pengundi di Balakong mesti memastikan negara tidak kembali ke era BN, katanya.
PRK DUN Balakong akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan dengan calon PH, Wong Siew Ki.
-- BERNAMA
#1MDB #BALAKONG #Barisan Nasional #bendera #dacing #DAP #gobind singh #MCA #Pakatan Harapan #pengundi #penyelewengan #pilihan raya kecil #PRK #PRK DUN Balakong #Serdang #Tan Chee Teong #wong siew ki