AYER KEROH: Tindakan mengheret Negeri Melaka ke fasa darurat bagi mengelakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah satu tindakan yang bakal merosakkan ekonomi rakyat dan negeri.

Demikian jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dalam sidang media di Melaka pada Rabu.

Ujarnya, darurat hanya akan memberi impak negatif kepada ekonomi serta sektor-sektor pelancongan yang baru dibuka di negeri itu.

"Bagi saya mengheret melaka ke darurat suatu yang cukup buruk bagi rakyat. Ia satu persepsi negatif, kita dari satu fasa ke satu fasa kita tak boleh balik kembali untuk merosakkan gambaran ekonomi kita.

"Kita sedang membuka pintu ekonomi kepada rakyat dan tidak wajar jika dikatakan darurat itu menjaga rakyat, sedangkan ia beri kesan gambaran buruk terutama di Negeri Melaka yang kita baru mahu membuka pintu pelancongan di negeri ini," katanya.

Mengulas mengenai darurat di Negeri Sarawak, tegas Adly, situasi yang berbeza dilalui di Negeri Melaka selepas kerajaan negeri hilang majoriti.

"Memang ktia lihat Sarawak ada satu bentuk kestabilan politik kerajaan dipilih oleh rakyat, berbeza dengan Melaka mempunyai kerajaan minoriti.

"Bagi saya ini tidak wajar di kerajaan negeri, kerana kerajaan itu hilang kerpercayaan rakyat kerana ia mewakili ADUN itu sendiri," katanya lagi.