JAWATAN Perdana Menteri merupakan titik fokus utama didalam pemerintahan negara. Sebagai sebuah institusi yang terutama didalam kerajaan, institusi ini seringkali menjadi rebutan dan idaman kepada mana-mana ahli politik bagi menjawatinya. Malahan, kemelut-kemelut politik yang berlarutan semenjak beberapa tahun yang lalu turut memusatkan permasalahannya terhadap institusi ini. Persoalannya, mengapa institusi ini seringkali menjadi pertikaian dan igauan setiap ahli politik di negara ini? Adakah oleh kerana kekuasanya? Namun apakah kuasa-kuasanya yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Latar Belakang Institusi Perdana Menteri

Institusi Perdana Menteri pada asasnya mempunyai sejarah yang panjang, dan telah berevolusi sejak 250 tahun yang lalu. Namun, institusi Perdana Menteri yang diamalkan di Malaysia pada hari ini adalah berdasarkan model Westminister British, yang mula diperkenalkan secara rasmi sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Secara umumnya, jawatan Perdana Menteri adalah jawatan yang terpenting didalam Perlembagaan Persekutuan diatas kapasitinya sebagai ketua kerajaan. Di peringkat negeri pula, jawatan ketua kerajaan disandang oleh Menteri Besar ataupun Ketua Menteri.

Menurut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik diatas budibicara Yang Dipertuan Agong yang berperanan sebagai ketua negara. Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dikalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut. Berturutan dengan ini, penulis berpendapat bahawa, walaupun secara adatnya Perdana Menteri lazimnya dilantik daripada kalangan pemimpin parti politik yang memenangi sesebuah pilihanraya umum, namun Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkannya secara khusus. Hal ini kerana Perlembagaan Persekutuan secara literalnya hanya mensyaratkan seseorang Perdana Menteri tersebut haruslah mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain, dan bukannya tertakluk kepada sokongan parti politik yang diwakilinya. Tambahan pula, oleh kerana Perdana Menteri mestilah terdiri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat, oleh itu jawatan Perdana Menteri adalah mustahil untuk dijawat oleh seorang Senator, yang merupakan ahli Dewan Negara. Lebih menarik, Perkara 43(7) turut menggariskan bahawa seseorang yang mendapat kewarganeraan negara ini melalui proses naturalisasi mahupun pendaftaran adalah tidak layak untuk menjawat jawatan tersebut. Oleh itu secara mudahnya, jawatan Perdana Menteri hanya layak diisi oleh individu yang lahir di Malaysia.

Kuasa-Kuasa dan Fungsi-Fungsi Perdana Menteri


Sebagai sebuah institusi yang terulung, sudah tentu institusi ini mempunyai kuasa-kuasa dan fungsi-fungsi khusus sepertimana yang digariskan oleh Perlembagaan mahupun atas dasar konvensyen. Di peringkat Kabinet, kuasa utama yang terdapat pada Perdana Menteri adalah hak untuk menasihati Yang Dipertuan Agong untuk melantik Jemaah Menteri sepertimana yang termaktub dibawah Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, Perdana Menteri turut mempunyai hak untuk memilih, menukar, mahupun memecat mana-mana ahli Jemaah Menteri termasuklah timbalan Perdana Menteri. Hal ini disebutkan didalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Perdana Menteri dimana sesebuah pemecatan tersebut tidaklah semestinya perlu dilakukan secara terus oleh Yang Dipertuan Agong, namun memadai sekiranya Baginda dimaklumkan sebelum pemecatan itu dilakukan. Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga mempunyai kuasa untuk menubuh sebuah Kementerian yang baharu mahupun membubarkan mana-mana Kementerian sedia ada. Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mempunyai kuasa penuh dalam menentukan perjumpaan Jemaah Menteri/kabinet dan juga menentukan perkara-perkara yang perlu dibincangkan didalam perjumpaan tersebut. Perdana Menteri juga tidak tertakluk kepada nasihat kabinetnya sendiri. Oleh itu secara teorinya, seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh terhadap menentukan perjalanan dan tadbir urus Kabinetnya. Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga mempunyai kuasa bagi menubuhkan apa-apa jawatankuasa khusus

diperingkat kabinet. Seterusnya, Perdana Menteri boleh melantik atau menubuhkan badan penasihat di luar Kabinet bagi menasihati beliau mengenai sesuatu perkara yang khusus.

Di peringkat Parlimen, selain berperanan sebagai ketua kerajaan, Perdana Menteri juga mempunyai autoriti bagi memilih calon-calon Senator di Dewan Negara untuk dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sepertimana yang termaktub dibawah Perkara 45(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah, didalam situasi kebiasaan, Perdana Menteri juga mempunyai peranan untuk menasihati yang Dipertuan Agong bagi tujuan untuk memanggil, memprorog, mahupun membubarkan Parlimen. Namun pada pendapat penulis, peranan ini tidak terpakai ketika darurat oleh kerana Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa penuh kepada Yang Dipertuan Agong bagi menjalankan fungsi-fungsi tersebut diatas budibicara Baginda sepertimana yang dinayatakan dibawah Fasal 14(1) dan (2) Ordinan tesebut. Perlu dinyatakan juga bahawa, kuasa Ordinan Darurat boleh mengatasi mana-mana kuasa dan jaminan didalam Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang termaktub dibawah Perkara 150.

Selain daripada itu, Perdana Menteri juga mempunyai peranan yang besar dalam menasihati Yang Dipertuan Agong mengenai urusan perlantikan jawatan-jawatan penting yang disebutkan didalam Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah dalam hal-hal perlantikan hakim-hakim mahkamah atasan (Perkara 122B Perlembagan Persekutuan), Peguam Negara (Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan), Ketua Audit Negara (Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan), Pengerusi dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Perkara 139(4)) dan juga yang lain-lain.

Mengimbangi Kuasa-Kuasa Perdana Menteri

Walaupun Perlembagan Persekutuan memperuntukkan pelbagai kuasa diberikan kepada Perdana Menteri, namun secara asasnya ia tidaklah mutlak dan kebal daripada proses semak dan imbang. Pertamanya, dari segi kelayakan, seseorang calon Perdana Menteri mestilah terdiri daripada salah seorang ahli Dewan Rakyat dan mendapat sokongan majoriti daripadanya. Oleh kerana sokongan terhadap Perdana Menteri adalah bergantung kepada sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, oleh itu, sebarang tindakan drastik seperti memecat seorang Menteri kabinet mampu menggugat sokongan terhadapnya sekaligus boleh mencetuskan kemelut politik. Selain daripada berperanan sebagai sebuah badan semak dan imbang terhadap Pedana Menteri, Parlimen juga secara kolektik mempunyai kuasa untuk memecat seseorang Perdana Menteri melalui proses undi tidak percaya. Lebih penting, Perdana Menteri juga boleh kehilangan kedudukannya melalui Pilihanraya Umum sekiranya kerajaan yang diketuai beliau tidak popular dan tidak mendapat sokongan pengundi.

Selain daripada itu, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh terhadap menentukan perjalanan kabinetnya, namun seorang Perdana Menteri tidak dijangka untuk mencampuri urusan dalaman sesebuah kementerian yang bukan dibawah kawalannya. Pada asasnya, Menteri-menteri kabinet yang dilantik akan diberikan kebebasan bagi mengurus dan mentadbir sesebuah Kementerian, selagi mana ia masih lagi berlandaskan polisi umum yang ditetapkan oleh Perdana Menteri. Cabaran globalisasi juga merumitkan tugas seseorang Perdana Menteri. Hal ini kerana sesuatu keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri mampu memberikan implikasi terhadap hubungan luar negara. Tekanan luar daripada kuasa-kuasa besar, agensi-agensi antarabangsa, ataupun syarikat-syarikat multinasional secara langsung dan tidak langsung mampu menghadkan kuasa-kuasa Perdana Menteri. Tidak terkecuali juga tekanan politik dalaman, dimana Perdana Menteri harus juga mengambil kira implikasi negatif yang mungkin timbul akibat penentangan daripada parti ataupun gabungan yang diwakilinya sekiranya aspirasi politik tidak dipenuhi. Dalam pada itu, tugas bagi memuaskan hati semua pihak juga merupakan cabaran yang sangat besar buat Perdana Menteri, apatah lagi Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa,agama, dan kaum, yang sudah tentu mempunyai kehendak, keperluan, dan juga sensitiviti yang berbeza.

Pengakhiran

Institusi Perdana Menteri adalah institusi rakyat. Walaupun tedapat pelbagai keistimewaan dan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan terhadap institusi ini, namun pada hakikatnya ianya adalah sebuah amanah yang maha berat yang tersedia untuk dipikul oleh pemegangnya. Sebagai institusi sandaran dan harapan rakyat, institusi ini haruslah dipelihara dan dijaga dengan penuh keinsafan, tanggungjawab dan integriti oleh semua pihak. Penulis berharap bahawa institusi ini tidaklah dilihat hanya sebagai manifestasi idaman kejayaan politik semata-mata. Bak kata pepatah, ‘jangan sampai menang sorak, kampung tergadai’ oleh kerana rakyat kebanyakan sedang menilai.



*Dr. Hafidz Hakimi Haron adalah Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia, Kampus Melaka. Pengkhususan kepakaran beliau adalah di dalam bidang Undang-Undang Perlembagaan, Undang-Undang Hak Asasi Manusia, Undang-Undang Media dan juga Undang-Undang Siber.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.