Memang wujud cai dalam pemilihan AMK - Najwan

Astro Awani
Ogos 27, 2018 21:27 MYT
NAJWAN: Ketua AMK perlu bersifat mandiri, bebas dan tidak hanya bergantung kepada identiti atau personaliti kepimpinan tertentu. - Astro AWANI
Setiap calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) perlu mengakui wujudnya kem-kem atau cai masing-masing dalam dalam pemilihan kali ini.
Salah seorang dari tiga calon Ketua AMK, Najwan Halimi berkata, ia sekali gus gesaan mempamerkan kejujuran dalam berpolitik selain menyatakan pendirian terhadap rakyat.
"Memang jelas dan ketara dalam mana-mana parti, dan KEADILAN sekarang ini, berdepan pemilihan, memang wujud istilah cai itu sendiri, dan itu adalah manifestasi wujudnya kem.
"Ketua AMK perlu bersifat mandiri, bebas dan tidak hanya bergantung kepada identiti atau personaliti kepimpinan tertentu. Kalau dia dipilih ketua AMK dan personaliti lain yang jadi timbalan, bagaimana dia hendak bekerja.
"Apa yang penting adalah hendak menjaga akar umbi di bawah. Kalau bersifat eksklusif, ini akan jadi masalah dan beban kepada AMK, seperti terjadi dalam pentadbiran AMK terdahulu," katanya semasa debat AMK di Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu katanya, kejujuran politik penting untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin tinggi kini.
Jelasnya, sekarang bukan zaman bercakap dan tidak melakukan janji.
"Kena ada tawaduk dan membuang budaya elit serta mengejar kontrak untuk anak muda," katanya.
Perkara itu ujarnya menjadi sebab utama Barisan Nasional (BN) dihumban pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
#AMK #Barisan Nasional #cai #calon #debat #elit #Keadilan #kejujuran #kem #Ketua AMK #ketua pemuda PKR #Najwan Halimi #pemilihan parti #PKR #PRU14 #tawaduk