POLITICS

Menginjak 79 tahun, UMNO perlu sesuaikan diri dengan realiti politik baharu - Ahmad Zahid

Firdaus Azil 11/05/2025 | 04:30 MYT
Ahmad Zahid berkata UMNO perlu berani menyesuaikan strategi, pendekatan, dan gerak kerja seiring dengan realiti politik baharu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Cabaran besar yang wujud di era kini, antaranya tiada lagi parti dominan seperti era sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, memerlukan UMNO untuk tidak lagi statik, dan terus bergantung kepada pendekatan lapuk, tegas Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ringkasan AI
  • UMNO perlu berubah mengikut realiti politik baharu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti tidak boleh bergantung kepada pendekatan lama kerana landskap politik kini tiada lagi parti dominan seperti sebelum PRU-14.
  • Kerajaan Perpaduan sebagai langkah kenegaraan Zahid menjelaskan bahawa keputusan membentuk Kerajaan Perpaduan bukan sekadar kepentingan politik tetapi demi kestabilan negara, termasuk mempertahankan hak Melayu, Bumiputera, Islam, dan institusi Raja-Raja.
  • Keperluan menyesuaikan strategi dan gerak kerja - UMNO perlu berani mengubah pendekatannya agar terus relevan dalam situasi politik terkini dan tidak terperangkap dalam krisis yang berpanjangan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO perlu berani menyesuaikan strategi, pendekatan, dan gerak kerja seiring dengan realiti politik baharu.
Beliau berkata, dua PRU sebelum ini memperlihatkan keputusan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak dan telah menghadirkan situasi politik yang tergantung, menyebabkan parti itu memilih langkah kenegaraan untuk bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Langkah ini bukan demi mengejar kepentingan sempit, tetapi demi memastikan keindukan Islam terus terpelihara, hak serta kepentingan Melayu dan Bumiputera terus terbela, institusi Raja-raja Melayu terus didaulatkan, bahasa Melayu terus dinobatkan.
“Dan lebih besar lagi — demi menyelamatkan negara daripada belenggu krisis politik yang berpanjangan,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari UMNO Ke-79 dan Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia, di sini pada Ahad.
Terdahulu Ahmad Zahid menggariskan beberapa cabaran yang harus ditangani UMNO – antaranya keperluan memulihkan kepercayaan rakyat, serta mengukuhkan kembali kekuatan dalaman parti.
“Pertama, bagaimana UMNO perlu memulihkan kepercayaan rakyat terhadap politik dan parti, setelah gelombang persepsi negatif, fitnah dan pembohongan telah berjaya disemai sejak PRU-14 lagi.
“Kedua, bagaimana kita mesti mengukuhkan kembali kekuatan dalaman parti yang telah dilukai oleh perpecahan dan pengkhianatan — satu tuntutan yang menagih hikmah dan kebijaksanaan, bukan emosi yang membakar diri,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata, persoalan yang turut timbul ialah adakah UMNO mampu menyesuaikan pendekatan perjuangan agar selaras dengan kehendak generasi baharu — sebuah generasi yang lahir dalam lanskap politik yang serba lain, dan serba tahu.
Beliau berkata, rakyat semakin terbuka, semakin kritikal, dan kebergantungan mereka terhadap parti politik kian luntur, hingga wujudnya defisit kepercayaan (trust deficit) yang terbit daripada imej pemimpin yang sering berbalah, berjanji kosong, dan menghindari kepentingan rakyat.
Selain itu beliau berkata, generasi pengundi baharu - Gen Z dan Alpha, pula mempunyai sudut pandang yang berbeza, pandangan yang diasuh dan dibentuk oleh garis masa media sosial… bukan lagi oleh retorik lama yang kian pudar maknanya.
“Naratif sejarah tidak lagi mencengkam emosi mereka, yang mereka dambakan ialah masa depan yang menjanjikan harapan kepada diri dan tanah air mereka,” tegasnya lagi.
Ahmad Zahid menegaskan, selepas Kerajaan Perpaduan mengurustadbir negara selama 30 bulan, ekonomi negara kembali bernafas segar, indeks pelaburan asing melonjak memberangsangkan, hubungan diplomatik Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa semakin erat.
Selain itu beliau berkata, projek pembangunan rakyat kembali rancak, kos sara hidup diberi perhatian, bahkan imej Malaysia kembali pulih sebagai negara yang stabil, berdaya saing, dan dihormati.
“Di situlah letaknya kekuatan UMNO — apabila kesatuan diperkukuh, UMNO pasti tampil terkehadapan. UMNO bukan sekadar gah sebagai sebuah parti politik, tetapi berdiri sebagai jurutera perkongsian kuasa dalam dinamika politik yang mendamba kestabilan.
“UMNO tidak pernah bersendiri. 1955, bersama MCA dan MIC melalui Perikatan – dipasak lagi kekuatan pada 1974 dengan pembentukan Barisan Nasional. Dalam kita terus mempertahankan prinsip parti, kita memupuk kepercayaan dan saling hormat,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata, itulah 'DNA' politik UMNO politik kesederhanaan yang menolak ekstremisme, politik integrasi yang menolak retorik perkauman, politik kestabilan yang menolak perpecahan.
Beliau berkata, UMNO mesti teguh sebagai nakhoda politik kesederhanaan – kerana melaluinya UMNO akan kembali menjadi sandaran bukan hanya buat bangsa Melayu tetapi buat seluruh rakyat.
#Ahmad Zahid Hamidi #Hari Umno Ke-79 #pilihan raya umum #pendekatan lapuk #terkini #Kerajaan Perpaduan