Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendesak Menteri Wilayah Persekutuan 'cuci otak' bagi memastikan perancangan pembangunan bandaraya Kuala Lumpur dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Teresa berkata demikian semasa memberikan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Devamany di Dewan Rakyat.

"Saya seru Timbalan Menteri cuba tukar otak Menteri Wilayah Persekutuan kerana kementerian dia yang luluskan projek yang berdensiti tinggi di Kuala Lumpur, malah tiada LRT, MRT di kawasan saya. Jadi kerajaan perlu buat lagi LRT, MRT di banyak tempat kerana tuntutan yang makin meningkat.

"Saya nak mintak Timbalan Menteri bagi nasihat dan 'cuci otak' Menteri Wilayah Persekutuan supaya dia akan fikir untuk merancang Bandaraya Kuala Lumpur dengan lebih teratur lagi," katanya.

Beliau pada masa sama tidak berpuas hati dengan penjelasan Devamany di Dewan Rakyat supaya pengguna pengangkutan awam mengubah pemikiran mereka dengan bangun awal pagi untuk ke tempat kerja bagi mengelak kesesakan di LRT pada waktu puncak.

"Isu yang dibangkitkan Timbalan Menteri itu sangat dekat dengan hati saya iaitu kita perlu tukar otak atau tukar fikiran supaya bangun awal pagi pergi naik keretapi dan datang ke pusat bandar," tegasnya.

Soalan tambahan itu bagaimanapun tidak dijawab Devamany selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee bagi memberi laluan kepada soalan jawab lisan seterusnya.

Devamany sebelum itu turut menjelaskan bahawa pihak industri akan memastikan insiden penumpang LRT terkandas dan terpaksa berjalan di atas landasan keretapi September lalu tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Perkara ini pertama kali berlaku dalam sejarah LRT. Maka SPAD telah menaja audit bebas dan kita kena ke akar umbi, mengetahui apakah masalah supaya perkara ini tidak berlaku kembali," ujar beliau.

Beliau juga mengakui penumpang-penumpang menghadapi masalah susulan insiden berkenaan.